Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata ketika ini jumlah mangsa di pusat pemindahan di seluruh Sarawak kekal 196 seperti malam Khamis dengan 45 daripadanya berada di Sematan, dalam bahagian Kuching manakala 151 lagi di dua pusat pemindahan banjir dalam bahagian Betong.
Katanya, semua mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing tengah hari Jumaat, jika keadaan cuaca mengizinkan.
Sementara itu, beliau berkata keadaan banjir pulih sepenuhnya di bahagian Betong bagaimanapun mangsa yang berada di dua pusat pemindahan, iaitu di Dewan Panglima Rentap serta Klinik Kesihatan Nanga Budu, tidak dapat pulang ke rumah panjang masing-masing kerana struktur bangunan kediaman mereka disahkan tidak selamat akibat kejadian tanah runtuh.
Dalam pada itu, katanya banjir yang menjejaskan 12 kampung sekitar kawasan Sematan semalam, semakin pulih, namun mangsa tidak dapat pulang ke rumah malam Khamis memandangkan keadaan gelap.
Pusat Pemindahan Banjir Di Sematan Dijangka Tutup Hari Ini
Mangsa banjir meluangkan masa berbual sesama sendiri untuk mengisi masa lapang mereka di Pusat Pemindahan Banjir di SJKC Tong Ah di Selangau, Sarawak. - fotoBERNAMA


