suria

Anak Tidak Patut Dizalimi - Pengawal Keselamatan

Muhamad Zaki menziarahi kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera bapanya di Hospital Tuanku Ja'afar pada Khamis.
SEREMBAN: Dikurniakan dengan sembilan anak, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun daripada terus didera bapanya.

Razak Yusof berkata dia bertindak membuat laporan polis selepas kanak-kanak lelaki itu memberitahu bahawa bapanya menumbuknya di muka dan berulang kali memukulnya dengan tali pinggang.

Katanya, adalah wajar bagi ibu bapa mendisiplinkan anak-anak mereka tetapi kekerasan secara berlebihan adalah tindakan melampau terutamanya kepada seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.

"Apabila saya melihat kanak-kanak lelaki itu, mukanya bengkak dan mengalami luka di seluruh badan. Tindakan itu tidak dapat diterima sama sekali," katanya.

Razak berkata beliau mengenali bapa kanak-kanak lelaki selama enam tahun dan pernah membantunya dalam beberapa perkara.

Katanya, beliau mengenali lelaki tersebut yang mempunyai tiga anak lelaki tetapi jarang melihat mereka kerana mereka sentiasa berada di dalam rumah.

"Lelaki itu pernah datang ke rumah saya untuk meminjam wang kira-kira tiga atau empat tahun lepas.

"Dia juga orang yang panas baran dan sering bertukar pekerjaan," katanya.

Razak berkata, beliau telah membantu suspek dengan menghantar ketiga-tiga anaknya kepada seorang ustazah di Pusat Dakwah Islam dekat Paroi.

"Namun dia mengambil mereka semula dan memberitahu saya bahawa ustazah itu tidak menjaga anaknya dengan baik," katanya.

Razak berkata, dia juga tidak faham mengapa lelaki tersebut mengambil semula anak lelakinya itu.

"Mungkin budak itu lebih nakal berbanding dua adik beradiknya yang lain. Tetapi dia tidak sepatutnya dizalimi," katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki yang disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Jujur, Sikamat di sini, Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di taman perumahan itu.

Kanak-kanak itu dipercayai didera oleh bapanya dan dipaksa meminta wang daripada jiran mereka.




dera, Muhamad Zaki Harun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain