suria

Masa Terbaik Turunkan Harga Barang - Hasan

Hasan Malek.
PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata sekarang adalah masa terbaik bagi pemilik restoran dan peniaga makanan untuk menurunkan harga barangan berikutan pelbagai faktor termasuk penurunan harga petrol baru-baru ini.

Beliau menggesa peniaga, pemilik restoran dan pemain industri untuk memberikan harga terbaik kepada orang ramai dan mengambil peluang tersebut untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

"Saya percaya sekarang masa terbaik untuk mereka terutamanya apabila harga minyak telah menurun. Sekiranya mereka boleh menaikkan harga barangan apabila harga petrol naik, mengapa mereka tidak boleh menurunkan harga buat masa ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengilang, pembekal makanan dan pemborong untuk memastikan harga kekal munasabah dan mematuhi undang-undang.

Katanya, kementeriannya juga hanya bertindak sebagai badan pemantau untuk memastikan harga barangan keperluan terkawal dan dilindungi daripada manipulasi, spekulasi dan disorok.

"Kami terus berhubung dengan mereka untuk mendapatkan situasi menang-menang untuk pengguna dan juga pihak mereka. Mereka telah memberikan petunjuk positif untuk menurunkan harga barangan atau jika tidak tindakan dan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mereka menerusi pelbagai akta seperti Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan," katanya.

Hasan berkata kerajaan juga mempunyai kenaikan tarif elektrik yang dijadualkan pada tahun ini semasa semakan Belanjawan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan perniagaan dan membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Mereka juga harus memainkan peranan dan menunjukkan rasa cinta kepada negara. Dengan semangat bersatu hati, mereka harus mengambil inisiatif untuk menurunkan harga barangan," katanya.

Hasan Malek, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain