suria

PAS, DAP Perlu Selesai Pertikaian Sebelum 10 Februari - Anwar

Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin PAS dan DAP berbincang dan menyelesaikan pertikaian mereka sebelum 10 Februari - tarikh Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya berhubung rayuan terakhir beliau dalam kes sodominya.

"Saya merayu kepada mereka agar membawanya (isu itu) ke meja rundingan, dan saya harap mereka dapat menetapkan tarikh sebelum 10 Februari.

"Saya sedang menghubungi mereka tetapi masalahnya kami belum mencapai persetujuan tentang tarikh," kata beliau.

Anwar bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Islam Rahmatan Lil' Alamin bersempena Perhimpunan Belia Antarabangsa ke-12 di sini Ahad.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan dan pelaksanaan hukum hudud, yang masing-masing diperjuangkan oleh DAP dan PAS, telah mencetuskan perbalahan antara dua parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) itu.

Anwar mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas disabitkan kesalahan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.
Anwar Ibrahim, PAS, DAP

Artikel Lain