suria

MyEG: Tak Wujud Unsur Penganiayaan Terhadap Pembantu Rumah

PUTRAJAYA: Pengarah MyEG Service Bhd (MyEG), Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah menegaskan tidak wujud unsur penganiayaan terhadap pembantu rumah jika majikan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menggunakan kaedah yang dikendalikan syarikat itu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, selama ini juga tiada masalah pembantu rumah 'hilang' dikesan ketika kaedah permohonan PLKS dilakukan secara manual di kaunter pejabat imigresen.

Malah beliau juga menolak dakwaan bahawa situasi seperti itu pernah berlaku sejak MyEG mula menyediakan perkhidmatan secara dalam talian pada 2000.

"Sebelum ini pun majikan buat permohonan di kaunter. Jadi apa bezanya dengan 'online' (dalam talian).

"Sejak menyediakan perkhidmatan 'online'dan kendalikan urusan pekerja asing sejak 2011, tidak timbul sebarang masalah. Saya tidak lihat sistem ini ada unsur penganiayaan," katanya kepada mStar Online.

Dilaporkan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan mendakwa melalui sistem MyEG, majikan boleh memperbaharui premit tanpa pengetahuan atau kerelaan pembantu rumah.

Pikap difahamkan sebelum ini terdapat aduan mengenai pembantu rumah asing di negara ini yang tidak dapat dijejaki keluarga di negara asal kerana sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.

Malah pertubuhan itu juga mendakwa, kaedah itu boleh membawa kepada kemungkinan wujud eksploitasi sama ada majikan ‘menjual’ pembantu rumah kepada pihak lain atau mengarahkan mereka melakukan tugas lain.

Sehubungan itu, Mohd Jimmy Wong menyarankan semua pihak yang mahu membuat sebarang dakwaan terhadap sistem dalam talian MyEG supaya perlu mengemukakan fakta yang berasas.

Ditanya langkah untuk memastikan tiada unsur eksploitasi dalam permohonan PLKS, katanya, perkara tersebut tertakluk kepada keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Mungkin pihak KDN akan mencadangkan untuk mewajibkan dengan mengenakan syarat-syarat permohonan.

"Kalau nak bangkitkan isu penganiayaan oleh majikan terhadap pembantu rumah, bukan kita sebagai penyedia perkhidmatan boleh mengambil tindakan.

"Kita hanya menyedia perkhidmatan, sama juga dengan kaunter imigresen yang menyediakan perkhidmatan, cuma sistem MyEG ini mentransformasikan perkhidmatan di laman web," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jimmy Wong turut mempersoalkan tindakan Pikap membuat dakwaan berkenaan hanya selepas permohonan PLKS dibuat secara dalam talian MyEG.

"Saya nak tanya balik kepada Pikap, kenapa baru sekarang nak timbulkan isu ini?

"Mula-mula kata MyEG kenakan caj RM38. Kita telah buat justifikasi apakah butiran caj tersebut ditetapkan kerajaan di atas fungsi MyEG menyediakan pangkalan data, penyelenggaraan sisyem, 'server', logistik dan sebagainya.

"Bila kita dah justifikasi, mereka tidak boleh mainkan isu caj RM38 dan sekarang mainkan isu lain pula," katanya sambil menambah sistem dalam talian MyEG sebenarnya membantu mengatasi isu majikan menggunakan ejen dan orang tengah untuk membuat permohonan PLKS.

Menurut Jabatan Imigresen, menggunakan ejen atau orang tengah bagi urusan pekerja asing adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan akta dan peraturan imigresen. Hanya urusan membabitkan pembantu rumah sahaja dibenarkan menerusi agensi berdaftar. 


Artikel Lain