suria

ESSCom Perhebat Penerangan Isu Keselamatan

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan memperhebatkan program pertemuan dengan pemimpin masyarakat peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan mengenai isu keselamatan terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Ruji Ubi berkata selain itu, program itu juga bertujuan memberi penerangan mengenai langkah drastik yang diambil kerajaan dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Program ini juga mampu mewujudkan kerjasama dengan penduduk di semua peringkat selain membentuk semangat jati diri untuk sama-sama mempertahankan keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan ESSCom di Dewan Pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu dekat sini Rabu.

Turut hadir Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun, Ketua Bahagian Tadbir/Logistik ESSCom Brig Jen Subari Tomo dan Timbalan Ketua Bahagian Perisikan ESSCom Brig Jen Datuk Md Rahim Mohamad.

Ruji berkata penjelasan itu penting bagi membolehkan masyarakat memahami rasional di sebalik operasi mengesan dan menangkap PATI, termasuk 'Ops Gasak' dan 'Operasi Bersepadu Khas' yang kini giat dilaksanakan di beberapa daerah ESSZone.

Beliau berkata Operasi Bersepadu Khas itu merupakan susulan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai PATI di Sabah dan arahan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman agar operasi besar-besar dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

"Tugas menjaga keselamatan tidak seharusnya disandarkan sepenuhnya kepada anggota keselamatan, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama termasuk masyarakat ESSZone," katanya.

Ruji berkata prinsip pewujudan ESSCom perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang memimpin kerana matlamatnya adalah sama iaitu ingin menjadikan ESSCom sebagai entiti keselamatan yang unggul di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk komponen awam dan keselamatan supaya sama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam mempertahankan imej ESSCom sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di ESSZone.

Sementara itu, Abd Rashid berkata para petugas di ESSCom perlu bersatu bagi merealisasikan visi dan misi murni kerajaan dalam mempertahankan keselamatan.

"Semua pihak telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjayakan Operasi Bersepadu Khas terutamanya dalam memburu PATI di Lahad Datu, Tawau, Semporna dan sasaran kita seterusnya adalah di Sandakan.

"Tiada hari tanpa operasi...kita akan laksanakan operasi secara berterusan," katanya.

ESSCom, Lahad Datu

Artikel Berikut

Artikel Lain