suria

FWCMS Nafi Penglibatan Dalam Kenaikan Bayaran Pemprosesan Visa

PUTRAJAYA: Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), penyedia Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), menafikan syarikat itu bertanggungjawab bagi kenaikan terlalu tinggi kadar bayaran pemprosesan visa untuk pekerja Indonesia.

Bestinet dalam kenyataan berkata sistem holistik itu adalah telus, efisien dan mudah.

Ia juga memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing, terutamanya majikan, pekerja asing sendiri, penyedia insurans dan agensi kerajaan di Malaysia serta negara sumber, menurut kenyataan itu.

"Oleh itu, Bestinet menegaskan bahawa isu pemprosesan visa di Indonesia tidak ada kena mengena dengan syarikat ini," katanya.

FWCMS merupakan sistem pengurusan dalam talian yang disokong oleh infrastrtuktur pengurusan pemprosesan data yang terjamin dan selamat yang dibangunkan untuk kerajaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, dua modul utama di bawah FWCMS - bio-perubatan dan permohonan secara elektronik bagi Visa dengan Rujukan (eVDR) - beroperasi sepenuhnya mulai 15 Januari.

Menurutnya bio-perubatan dilaksanakan di negara sumber manakala eVDR dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

"Dengan pelaksanaan eVDR, permohonan bagi VDR dibuat secara dalam talian dan tempoh bagi pemprosesan kelulusan visa dipendekkan, yang memberi banyak manfaat kepada majikan," menurut syarikat itu.

Untuk maklumat lanjut tentang FWCMS, majikan boleh menghubungi pasukan Khidmat Pelanggan FWCMS di talian 03-8689 2822 atau layari www.fwcms.com.my

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu melaporkan bayaran pemprosesan visa bagi pekerja Indonesia daripada hanya RM15 naik kepada RM250 di bawah sistem baharu itu yang dikendalikan sebuah syarikat swasta.

Ia juga menyatakan kadar kenaikan terlalu tinggi kadar bayaran visa itu telah mengejutkan majikan dan pengusaha agensi pekerjaan yang marah dengan perkara itu mengancam untuk berhenti menghantar pekerja ke Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi berkata FWCMS dibangunkan untuk meningkatkan keefisienan dalam proses mendapatkan tenaga kerja asing dan merupakan pusat sehenti untuk mengendalikan pelbagai perkara berkaitan pekerja asing termasuk permohonan visa dan profil biometrik.

Artikel Lain