suria

Perodua Viva Rempuh Bas, Dua Pelajar Kolej Maut

KUANTAN: Dua pelajar Kolej Shahputra Kuantan maut selepas Perodua Viva yang mereka naiki melanggar belakang sebuah bas ekspres di KM153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan dekat Maran, tengah malam Ahad.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Aimi Sarah Abd Hissam, 20, berasal dari Taman Muda Cheras, Kuala Lumpur dan penumpang hadapan, Nurul Aida Ahmad Tajuddin, 20, dari Setiawan, Perak.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan berlaku pada 12.45 tengah malam semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar bahagian belakang bas ekspres yang berhenti di lorong kecemasan.

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bas terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana seorang penumpang tiba-tiba mengalami sakit perut dan terdesak hendak membuang air besar.

Mohd Noor berkata, bagaimanapun pemandu bas terbabit bersama semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LPT, Kuantan, Viva

Artikel Lain