suria

Kondominium Datum Jelatek: Semua Pembeli Berdaftar Bumiputera

Lakaran projek kondominium mewah Datum Jelatek.
PETALING JAYA: Kesemua 674 unit projek kondominium Datum Jelatek didaftarkan kepada pembeli bumiputera sekali gus menafikan dakwaan bahawa golongan Melayu tidak berkemampuan untuk membeli kediaman mewah tersebut.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah berkata, seramai 1,097 bakal pembeli bumiputera yang menunjukkan minat telah mendaftar, melebihi jumlah unit yang disediakan.

"Sehingga 14 Januari 2015, projek berkenaan telah mendapat sambutan baik dan setakat ini 1,097 bakal pembeli Bumiputera yang menunjukkan minat telah mendaftar, angka yang dicatatkan adalah melebihi dari 674 unit disediakan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad, hampir 1,000 orang termasuk penduduk di Taman Keramat di sini berhimpun mengadakan bantahan bagi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek di taman itu dihentikan.

Dalam perhimpunan itu, sekumpulan penduduk cuba merobohkan pagar penghadang keselamatan di tapak projek itu.

Kumpulan tersebut yang diketuai Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek, Salleh Samad mendakwa projek hartanah itu tidak memberi manfaat kepada golongan Melayu kerana mereka tidak berkemampuan untuk membeli kondominium mewah tersebut.

Kondominium tersebut yang dibangunkan oleh Datumcorp International (DCI), berharga sekitar RM700,000 seunit.

Salleh turut mendakwa projek tersebut akan membenarkan orang bukan Melayu untuk menetap di kawasan yang didiami 100 peratus orang Melayu.

Azlan yang juga Pengerusi DCI berkata, PKNS akan mengambil tindakan undang-undang berikutan dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda awam di tapak projek berkenaan.

“Apa yang berlaku amat mengecewakan kerana demonstrasi yang pada mulanya aman bertukar ganas apabila ada beberapa individu bertindak merobohkan dan memecahkan pagar penghalang di tapak projek.

“Kami memandang berat perkara ini dan tindakan undang-undang bakal diambil ke atas mereka yang terlibat, malah pihak DCI telah membuat laporan polis ke atas pencerobohan dan keganasan yang berlaku hari ini,” katanya.

Mengenai dakwaan PKNS tidak pernah bertemu penduduk berhubung pelaksanaan projek itu, Azlan berkata PKNS dan DCI telah mengambil pelbagai inisiatif dengan mengadakan perjumpaan dengan penduduk sekitar Taman Keramat sebelum ini.

“Kita telah mengadakan perjumpaan dan berdialog bersama penduduk sekitar, malah kami telah menerima reaksi positif daripada keseluruhan penduduk di sini yang menyokong projek ini,” katanya.

Datum Jelatek, PKNS

Artikel Sebelum

Dua Gudang Kayu Musnah Terbakar

Artikel Lain