suria

Banjir: 1,575 Kakitangan PDRM Terima Bantuan RM1.5 JUTA

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (kiri) turut sama bergotong royong membersihkan kawasan kampung sempena program pasca banjir di Kampung Kerilla, di Machang pada Isnin. Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim (kanan).

MACHANG: Sejumlah 1,575 pegawai, anggota dan kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini menerima bantuan dana berjumlah RM1.5 juta bagi meringankan beban mereka.

Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata mereka akan menerima antara RM500 dan RM1,500 seorang, bergantung kepada jumlah kerugian selepas penilaian oleh ketua polis daerah masing-masing.

"Dana itu dikumpulkan melalui pemotongan emolumen Januari melibatkan 120,000 pegawai, anggota dan kakitangan PDRM sebanyak RM1 juta serta RM500,000 daripada Tabung Kebajikan PDRM," katanya selepas merasmikan Program Gotong-royong Perdana Pasca banjir PDRM di Kampung Kerilla, Temangan di sini, Isnin.

Majlis yang dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Shabudin Abdul Wahab dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim itu menyaksikan penyertaan lebih 300 pegawai dan anggota polis serta orang ramai.

Mohamad Fuzi berkata bantuan itu diserahkan kepada kakitangan terjejas banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak secara berperingkat sejak minggu lepas.

"Bantuan dana itu juga akan disalurkan kepada kakitangan terjejas banjir di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun kita masih belum menerima laporan mengenai mangsa di dua negeri berkenaan," katanya.

Mengenai balai polis yang terjejas di Kelantan, beliau berkata proses pemulihan sedang dilakukan dengan agresif namun tidak menjejaskan operasi pasukan keselamatan itu di negeri ini.

"Kita telah memperuntukkan RM15.3 juta kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi proses membaik pulih dan proses pemulihan akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Operasi kita tak terjejas walaupun banjir besar melanda dan proses undang-undang tetap berjalan seperti biasa," katanya.

Polis, Banjir, PDRM

Artikel Lain