suria

WEF: Najib Mulakan Hari Pertama Bertemu Pemimpin Korporat Utama

DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memulakan hari pertamanya ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-45 di sini, dengan mesej kepada pelabur bahawa Malaysia sudah bersedia menawarkan  peluang-peluang perniagaan.

Pada kemunculan kali kedua sebagai Perdana Menteri pada pertemuan 'tokoh pemikir hebat' dunia ini, beliau menyampaikan mesej jelas bahawa walaupun wujud cabaran, Malaysia masih merupakan pusat kawasan pertumbuhan paling berpotensi di dunia, Asean.

Sebagai pengerusi Asean, sudah pasti tumpuan pada WEF terarah kepadanya untuk melihat kesungguhan, selain rangka kerja yang akan disediakan, terutama dalam meningkatkan tindakan bagi memastikan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjadi realiti.

Beliau akan bertemu 100 peserta, termasuk 55 pembuat keputusan, pegawai syarikat asing dan 39 peneraju utama korporat Malaysia selain pegawai kerajaan pada majlis makan tengah hari perniagaan tertutup anjuran bersama Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Invest KL.

Antara pemimpin korporat Malaysia yang hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes serta Pengerusi UEM Group Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Pemimpin syarikat global yang turut hadir termasuk dari General Electric, Barclays, Bata, Huawei, Lippo Group, Hyatt Hotel dan Ernst  and  Young.

Najib yang juga Menteri Kewangan dijangka menjelaskan kedudukan ekonomi semasa selain langkah-langkah yang diumumkan Selasa lepas bagi mengekalkan kestabilan ekonomi Malaysia dan aliran pelaburan asing ke dalam negara.

Pada tengah hari, Najib akan mengadakan rundingan dua hala selama 20 minit bersama Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Panorama Hotel, lokasi WEF tahun ini dan bertemu Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandra Babu Naidu.

Najib juga akan bertemu lima syarikat asing, kemungkinan mengenai rundingan pelaburan bahari selain meluaskan pelaburan sedia ada di Malaysia.

Najib kemudiannya akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana menteri Turki, Ahmet Davutoglu.

Davos, WEF, korporat, Asean

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Noh Bohong" - MB Selangor

Artikel Lain