suria

Ekspedisi Kedua Penentu Lokasi Kekal Fosil Dinosaur

Fosil gigi dipercayai dari spesis dinosaur Iguanodon yang dijumpai dalam bongkah konglomerat di Sg. Chichir, Oktober tahun lalu.

PETALING JAYA: Ekspedisi kedua menjejak fosil dinosaur berusia Jura Kapur di Gunung Gagau, Hulu Terengganu akan menentukan lokasi kekal untuk menempatkan tinggalan purba itu.

Ketua Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, sepasukan penyelidik akan ke lokasi penemuan Oktober lalu bagi mencari lebih banyak bukti dan fosil.

Beliau berkata, pada masa ini, fosil dinosaur yang dibawa dari tapak penemuan masih disimpan di pejabat JMG Terengganu dan ia dalam keadaan selamat dan terpelihara.

"Sekarang kita tumpu untuk mencari lebih banyak bukti dan diharap misi seterusnya pada Mac dapat menemui fosil lengkap dinosaur seperti tengkorak, tulang leher, tulang kaki dan bahagian-bahagian lain dan selepas itu mungkin kita akan tentukan di mana akan disimpan fosil itu," katanya dalam satu temuramah bersama mStar Online.

Datuk Yunus Abdul Razak

Menurut Yunus, ketika ini pejabat JMG negeri adalah tempat terbaik untuk fosil tersebut disimpan sementara menunggu analisis dilakukan kerana ia ditemui di situ dan kerajaan negeri mempunyai hak terhadapnya.

Fosil yang dibawa keluar dari tapak penemuan adalah fosil gigi dinosaur yang ditemui dalam bongkah konglomerat dan fosil tulang dalam singkapan batu pasir. Fosil tapak kaki tidak dapat dibawa balik kerana ia terletak dalam bongkah batuan besar.

Beliau menambah, jika dilihat dari sudut khazanah negara dan kemaslahatan umum, ia juga sesuai diletakkan di Muzium Geologi di Ipoh atau di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, katanya, JMG sekali lagi akan berkerjasama dengan Thailand yang berpengalaman menguruskan fosil dinosaur bagi menjalankan kajian, analisis dan merawat rapi fosil yang telah dan  akan ditemui.

"Kita juga akan hantar pasukan penyelidik tempatan ke Thailand untuk mendalami ilmu dalam bidang merawat dan merapi," ujarnya sambil menambah fosil itu tidak akan dihantar ke negara jiran itu.

"Kalau kita hantar sampel ini ke luar (negara lain) untuk dikaji, amat tipis untuk ia sampai balik kepada kita dalam keadaan asal kerana ia berisiko patah, pecah dan sebagainya.

"Sebab itu kita rancang dengan Thailand, pakar mereka datang rawat dan rapi di sini, kalau perlu bawa balik ke makmal mereka, wakil kita akan ikut," tegasnya.

Sebelum fosil di Sungai Chichir ditemui, Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Thailand dan  'berguru' dengan negara itu tentang kaedah menjejak fosil dinosaur memandangkan ia mempunyai ramai pakar khusus dalam bidang ini.

"Tidak mudah menguruskan fosil berusia jutaan tahun yang mungkin reput, pecah dan sebagainya. Fosil biasa seperti siput misalnya bersaiz kecil senang diambil, dibawa balik dan dirawat-rapi...tapi kita berdepan dengan saiz besar (dinosaur) jadi agak susah dan perlukan kaedah berlainan.

"Kita memang ada ramai pakar dan penyelidik tapi khusus kepada dinosaur kita tak ada pengalaman lagi, jadi kita 'berguru' dengan Thailand yang bersedia memberikan khidmat secara percuma," katanya.

Mengenai misi yang dirancang, ia akan disertai pakar dan penyelidik dari JMG, beberapa universiti dan agensi tempatan dan kerjasama pintar mungkin dijalinkan dengan Pusat Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).

Jelasnya, ekspedisi tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu mencari fosil dinosaur dengan lebih teliti di tapak sama ia ditemui sebelum ini dan mencari di kawasan lain di sekitar tapak penemuan.

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila sekumpulan penyelidik tempatan berjaya menemui fosil gigi dinosaur dipercayai dari kumpulan Iguanodon, dan fosil tapak kaki dari kumpulan Theropod dan Sauropod melalui Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014.

Turut ditemui dalam ekspedisi sama ialah fosil tulang dinosaur dalam singkapan batu pasir berpebel, di samping fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang.




dinosaur, Jura Kapur, Gunung Gagau, JMT

Artikel Lain