suria

Mayat Terbakar Disahkan Mayat 'Datuk' Dilapor Hilang

BUKIT MERTAJAM: Mayat terbakar yang ditemui di Lumut adalah mayat ahli perniagaan yang hilang, Datuk Seri Law Chow Yeong.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Zailan Tengku Tengku Ahmad Shah berkata, lelaki berusia 43 tahun telah dikenal pasti melalui rekod giginya.

"Ahli-ahli keluarga juga telah mengesahkan identitinya selepas bedah siasat," katanya di Ipoh.

Keluarga Law menuntut mayatnya dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, pada pukul 7 pagi sebelum menjalankan pembakaran mayat di krematorium Berapit di Bukit Mertajam pada pukul 1.45 petang Rabu.

Beberapa orang yang dipercayai ahli keluarga Law dan rakan-rakan, dilihat berada di krematorium, memakai topeng muka dan cermin mata hitam.

Percubaan untuk bercakap dengan mereka tidak berhasil kerana mereka mengelak daripada wartawan dan segera meninggalkan tempat itu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata mayat Law telah ditemui oleh sebuah kumpulan yang masuk ke dalam hutan di Lumut pada jam 4.30 petang, 16 Januari lalu.

"Polis Manjung menerima laporan mengenai penemuan mereka dpada pukul 12.10 pagi pada 17 Januari lepas.

"Kira-kira 70 peratus tubuhnya telah dibakar," katanya, sambil menambah bahawa Law dilaporkan hilang di Bukit Tengah, Juru, pada 13 Januari lepas.

Dia kali terakhir dilihat keluar dari pusat refleksologi di Bukit Mertajam apabila beberapa orang menariknya masuk ke dalam salah sebuah daripada dua buah kereta sebelum kereta dipecut.

Siasatan polis mendapati kedua-dua kereta, dengan nombor plat pendaftaran palsu, kemudian keluar di Plaza Tol Changkat Jering, Lebuh Raya Utara-Selatan 

Law dipercayai memiliki sebuah lombong bijih timah di Pahang.

Kes ini sedang disiasat oleh polis Perak di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala polis di Pulau Pinang sedang menyiasat kes sebagai kes culik.

Artikel Sebelum

Artikel Lain