suria

Esscom Tubuh Pasukan Ops Bersepadu Khas Buru Pati

Gambar hiasan.
KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan menubuhkan pasukan petugas bagi membantu menyelaras Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di setiap daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Pengarah Awam ESSCom Ruji Ubi berkata pelancaran pasukan petugas peringkat daerah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat.
Beliau berkata langkah itu sejajar dengan visi dan misi ESSCom yang berazam untuk membersihkan ESSZone daripada PATI.

"ESSCom dengan kerjasama bahagian penguatkuasa pejabat daerah di setiap daerah di ESSZone akan mengemudi operasi bersepadu ini.

"Langkah drastik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menangani masalah PATI di Sabah, khususnya di ESSZone," katanya pada majlis pertemuan ESSCom bersama pegawai daerah ESSZone dan ketua agensi penguatkuasa di sini Khamis.

Turut hadir Komander ESSCom Datuk Abd Rashid Harun.

Ruji berkata operasi bersepadu itu akan melibatkan semua agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan yang berperanan menguatkuasakan undang-undang sedia ada di peringkat daerah.

Setakat ini, katanya, Operasi Bersepadu Khas itu telah dan sedang dilaksanakan di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan akan diperluaskan ke daerah lain di ESSZone.

Operasi membanteras PATI itu merupakan langkah susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) bulan lepas.

Esscom, Pati, RCI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain