suria

Perutusan Khas: Langkah Ke Arah Ekonomi Seimbang, Inklusif & Mampan

PUTRAJAYA: Kerajaan juga memberi tumpuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan bagi merancakkan eksport barangan serta perkhidmatan.

Ia adalah Strategi Pertama yang digariskan dalam Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan sebenar tadi.

Langkah ini juga selaras usaha kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh supaya negara mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Beberapa tindakan berikut akan diambil:

Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import  seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan;

Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export Council iaitu, membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan Sederhana atau PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.

Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport  serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara;

Ketiga, menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan.

Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara;

Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;

Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing; dan

Keenam, visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China.

Selain itu, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;

Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;

Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;

Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan

Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi Asean.

Dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia pula, antara langkah yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum 5 juta ringgit dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;

Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;

Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;

Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan

Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain