suria

Pelajar Salah Faham, Arahan Tidak Boleh Pakai Baju Kurung - Pengetua

KUALA LUMPUR: Salah faham dan masalah komunikasi yang timbul dikalangan pelajar dan ibu bapa menyebabkan pemakaian baju kurung oleh pelajar bukan Islam menjadi satu isu yang besar.

Mohd Amir Abdul Ghani, pengetua SMK Seri Mutiara berkata sekolah berkenaan tidak pernah melarang mana-mana pelajar bukan Islam daripada memakai baju kurung namun menegaskan bahawa pakaian tersebut perlu dipakai mengikut cara yang betul.

"Sekiranya mereka berbaju kurung, pelajar perlu memakainya dengan betul, mengenakan butang baju pada baju kurung berkenaan setiap masa. Apabila kita beritahu kepada mereka perkara ini, mereka kata kami (pihak sekolah) tidak benarkan mereka memakai baju kurung.

"Pihak sekolah tidak pernah melarang sesiapa yang ingin memakai baju kurung," katanya kepada Bernama.

Mohd Amir berkata arahan untuk mengenakan butang pada baju kurung perlu dipatuhi kerana beliau mahu pelajar mematuhi tatasusila serta memelihara maruah mereka.

Beliau berkata satu perbincangan telah diadakan pada Khamis, dan ia dihadiri oleh beliau, persatuan ibu bapa dan guru serta penjaga kepada pelajar yang mendakwa anaknya tidak dibenarkan memakai baju kurung ke sekolah.

Beliau menegaskan bahawa pelajar yang berkenaan boleh kembali ke sekolah dan bebas untuk memakai baju kurung.

Mohd Amir berkata beliau tidak berada di sekolah ketika insiden berkenaan berlaku dan mendakwa wujud masalah komunikasi antara pelajar dan guru yang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai isu berkenaan berkata pihak Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan yang melarang pelajar perempuan bukan Islam daripada memakai baju kurung ke sekolah kerana mahu menggalakkan perpaduan kaum di sekolah.

Sebelum ini, ada laporan yang menyatakan seorang pelajar berusia 15 tahun mendakwa dia dihalang memakai baju kurung oleh pihak pentadbiran sekolah kerana pakaian berkenaan hanya dikhaskan untuk pelajar perempuan Melayu sahaja.

Mohd Amir berkata beliau sangat menggalakkan pelajar bukan Islam memakai baju kurung kerana ia merupakan simbol perpaduan, dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau berkata majoriti pelajar di sekolah berkenaan adalah Cina dan pemakaian baju kurung tidak pernah menjadi isu sebelum ini.

Tinjauan Bernama di sekolah berkenaan mendapati beberapa guru bukan Islam turut memakai baju kurung ke sekolah. 

Baju Kurung

Artikel Lain