suria

Pembangunan Semula Kampung Baru Tidak Jejas Hak Pemilik Tanah - Muhyiddin

Liyana Dzulkifli 26, (kiri) dan rakannya, Siti Naqibah Yusoff 25, melihat buku Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu yang dilancarkan Muhyiddin pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana penggubalan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) sebelum ini melibatkan proses yang ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.

"Jumlah penduduk diunjur meningkat kepada 77,000 orang (menjelang tahun 2035) berbanding 18,372 orang pada masa ini dan bagi menampung jumlah itu, pelan ini menetapkan penyediaan 17,500 unit kediaman termasuk bagi 'mix-income housing' yang memfokuskan kepada pewaris serta anak-anak Kampung Baru.

"Ini merupakan bukti bahawa kerajaan memastikan tiada pemilik dan pewaris tanah yang akan terpinggir dalam arus pembangunan semula Kampung Baru," katanya ketika berucap melancarkan PITPKB di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pelan induk itu akan mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat khususnya penduduk Kampung Baru dalam mentransformasi dan memacu sosio-ekonomi negara.

Muhyiddin menyifatkan pembangunan semula itu sebagai langkah bijak kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan Bumiputera, khususnya Melayu di bandar.

"Penyediaan pelan ini telah menetapkan visi untuk menjadikan Kampung Baru sebagai 'Pusat Kebudayaan dan Enklaf Aktiviti Ekonomi Baru Bandaraya Kuala Lumpur'.

"Pembangunan bercampur lengkap dengan komponen kediaman dan perniagaan bersama elemen kemudahan berkaitan, diyakini mampu merangsang minat pelabur. Konsep pembangunan berteraskan 'People City' dengan elemen 'Live, Work, Learn and Play' adalah inti pati utama dalam pelan ini," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata dengan nilai potensi pelaburan RM61 bilion, ia dijangka dapat mewujudkan lebih 46,000 peluang pekerjaan menjelang 2035 termasuk kepada penduduk Kampung Baru.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelan induk berkenaan memfokuskan kepada dua aspek penting iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan Kampung Baru berkeluasan dianggarkan kira-kira tiga kali ganda pembangunan keseluruhan Kuala Lumpur City Centre.

Muhyiddin berkata, pelan induk itu turut memberi penekanan kepada peningkatan kemudahan infrastruktur bagi mengimbangi keperluan masa hadapan Kampung Baru.

Beliau berkata, penekanan akan diberi kepada penyediaan laluan khas bas transit dengan mengambil kira corak aktiviti dan guna tanah masa hadapan.

"Pelan induk ini juga melibatkan perbincangan terperinci dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat bagi mewujudkan satu stesen MRT Line 2 dalam Kampung Baru sebagai nadi dan pemangkin pembangunan kawasan istimewa ini," katanya lagi.

Selain itu, beliau menjelaskan pelan induk itu melibatkan pembangunan secara berperingkat melibatkan tiga tier iaitu perbandaran, kejiranan dan bangunan.

"Kemudahan seperti sekolah atau masjid akan disediakan pada Tier Pertama iaitu peringkat Perbandaran, kemudahan tadika, perpustakaan mini dan surau contohnya akan disediakan pada Tier Kedua iaitu peringkat Kejiranan.

"Kemudahan-kemudahan lain yang lebih kecil seperti taska, ruang serbaguna atau kafeteria akan disediakan pada Tier Ketiga iaitu peringkat bangunan," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan memainkan peranan besar dalam merealisasikan pembangunan semula Kampung Baru.

Artikel Lain