suria

Penjenayah Paris Pernah Bercuti Di Malaysia

Pasangan Boumeddiene (kanan) dan Clulibaly dikatakan pernah berkunjung ke Malaysia.

PETALING JAYA: Media asing menyiarkan laporan mendakwa pasangan penjenayah yang menyerang Paris, Amedy Coulibaly dan isterinya, Hayat Boumeddiene pernah berkunjung ke Malaysia.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan tarikh lawatan mereka ke negara ini, tetapi memetik sumber yang memaklumkan kedua-duanya pernah bercuti di negara ini.

Coulibaly, 32 dan Boumeddiene, 26 menetap di kawasan Bagneux dan disifatkan jiran mereka sebagai pasangan yang warak.

Pasangan yang dikatakan pendiam dan dihormati ramai itu bagaimanapun menghilangkan diri daripada kediaman mereka sebulan lalu, tambah laporan itu.

Sebelum ini, pemeriksaan polis di kediaman Coulibaly menemui peluru, senjata dan gambar lelaki itu ketika bercuti di Malaysia termasuk dokumen palsu.

Coulibaly ditembak mati selepas menyerang pasar raya di timur laut Paris pada Jumaat.

Penjenayah itu mendesak pembebasan dua bersaudara, Cheris, 32 dan Said Kouachi, 34 yang terbabit menyerang pejabat akhbar Charlie Hebdo dan membunuh 12 orang pada Rabu. Bagaimanapun, kedua-duanya ditembak mati di Dammartin-en-Goele.

Setakat ini, Boumeddiene dipercayai masih bebas selepas melarikan diri dari pasar raya dan kini menjadi penjenayah wanita paling dikehendaki di Perancis kerana bersenjata dan berbahaya.
Coulibaly, Boumeddiene, Bagneux, Paris

Artikel Lain