suria

Mahkamah: Tiga Lelaki Didakwa Edar 38.98 Kg Methamphetamine

Tiga lelaki termasuk seorang warganegara India didakwa atas tuduhan mengedar dadah sebanyak 38.98 kilogram di Kampung Bukit Tinggi pada 22 Disember lepas di Mahkamah Majistret Jasin di sini, Isnin.

JASIN: Tiga lelaki termasuk seorang warganegara India hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.98 kilogram, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada ketiga-tiga tertuduh N. Sivam, 40, K. Kalitasan, 29, dan warganegara India, Antony Arockiya Raj Selvaraj, 31, semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaridah Y. Abdul Jaapar.

Sivam, seorang pemandu lori, Kalitasan seorang pemandu teksi dan Antony Arockiya seorang pekerja ladang didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat 2933, JA 5796, Jalan Bukit Tinggi, Simpang Kerayong, Kampung Bukit Tinggi di sini pada 2 petang, 22 Disember tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Muhammad Firdaus Ab Aziz.

Mahkamah menetapkan 5 Februari untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.


Jasin, majistret, dadah, Antony Arockiya

Artikel Lain