suria

Zainal Rahim KP Mampu Baharu

Zainal Rahim (kiri) menerima surat pelantikan Ketua Pengarah Mampu daripada Ali Hamsa.

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Seri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang baharu mulai 9 Januari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Zainal Rahim, 57, menggantikan Datuk Wira Omar Kaseh yang bersara wajib.

Zainal Rahim yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam berpengalaman luas dalam bidang pembangunan, pengurusan sumber manusia, pentadbiran negeri serta pengurusan tanah dan wilayah.

Beliau dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 13 Januari tahun lepas.

Jawatan lain yang pernah disandang Zainal Rahim termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang; Ketua Penolong Pengarah, Unit Majlis Bersama Kebangsaan, Bahagian Saraan, JPA dan Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Organisasi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Ali berkeyakinan dengan kelayakan, pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Zainal Rahim akan membolehkan beliau memimpin dan meneruskan kecemerlangan Mampu sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab meningkatkan daya saing negara serta prestasi penyampaian perkhidmatan melalui pelaksanaan inisiatif pemodenan pengurusan organisasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sektor awam.

Dalam masa yang sama, Ali merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Omar atas sumbangan lebih 35 tahun beliau kepada perkhidmatan awam.

Zainal Rahim Seman, Mampu, Omar Kaseh

Artikel Lain