suria

Banjir: Kelantan Disaran Tubuh Jawatankuasa Siasatan

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan disaran supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa khusus bagi menyiasat punca berlakunya bencana banjir di negeri itu.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, penubuhan jawatankuasa itu bagi menghentikan budaya tuduh menuduh antara pihak-pihak tertentu berhubung bencana tersebut.

Cadangan itu muncul sehari selepas beliau mengesyorkan supaya Umno dan PAS mengambil langkah berani dengan mengetepikan perbezaan politik bagi membentuk jawatankuasa bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bagi merancang pembangunan semula negeri itu selepas bencana banjir.

Mohd Zuhdi Marzuki

"Sikap saling menuding jari kepada mana-mana pihak demi mencapai tujuan tertentu adalah umpama ‘menangguk di air keruh’ dan boleh mengganggu usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir seterusnya boleh merencatkan pembangunan semula negeri-negeri yang terlibat selepas bencana.

"Menuduh mana-mana pihak sebagai punca berlakunya banjir besar kali ini bukanlah penyelesaian kepada bencana banjir yang berlaku dan jauh sekali dapat mengatasi bencana ini daripada berlaku di masa akan datang," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Mohd Zuhdi berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa penyiasat itu perlu melibatkan pelbagai pihak demi mendapatkan gambaran yang lebih holistik tentang punca-punca berlakunya bencana tersebut.

Tambah beliau, laporan yang bakal disediakan oleh jawatankuasa itu perlu turut mencadangkan usaha-usaha yang harus dilakukan di masa hadapan untuk mengatasi dan mengurangkan kesan bencana banjir.

"Dicadangkan juga supaya laporan jawatankuasa penyiasat ini dibentangkan dalam satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

"Menerusi sidang khas ini, semua pihak yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat dapat membahaskan secara lebih positif punca berlakunya bencana banjir pada kali ini, dan seterusnya dapat mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya di masa hadapan," katanya.

Sebelum ini, muncul dakwaan di media sosial bahawa kejadian banjir besar di Kelantan berpunca daripada Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu atau Kenyir 2 milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagaimanapun TNB menafikan dakwaan tersebut.

Selain itu, turut dijadilan modal politik oleh sesetengah pihak bahawa kononnya kegiatan pembalakan yang dijalankan oleh kerajaan Kelantan sebagai punca berlakunya bencana itu.

Banjir, PAS, Umno, Mohd Zuhdi Marzuki

Artikel Lain