suria

Warga Asing Turut Bantu Ringan Beban Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Suatu ketika dahulu, Anthony Hoang Van Thoan, 23, pekerja asing dari Vietnam, pernah mengalami nasib yang sama dengan mangsa banjir di negara ini ketika kampung halamannya di wilayah Lai Chau, dinaiki air hampir setiap tahun.

Mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya ketika menghadapi saat kritikal banjir di kampung halaman, Hoang bertekad untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir tanpa mengira kewarganegaraan.

Di samping sibuk mencari rezeki di sebuah kedai cermin kereta di sini sejak dua tahun lalu, beliau berpeluang bersama lebih 80 sukarelawan menguruskan hasil barangan derma kepada mangsa banjir dalam program 'East Coast Malaysia Flood Relief' anjuran Archdiocesan Office for Human Development (AOHD) sejak 26 Dis lepas.

Katanya walaupun belum mampu untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit, sekurang-kurangnya beliau dapat menyumbangkan sumbangan dalam bentuk tenaga.

"Walaupun tidak dapat ke lokasi banjir untuk membantu mereka, tetapi dengan mengangkut barangan ke lori dan membungkus makanan hasil derma daripada orang ramai, saya rasa puas dan gembira.

"Saya simpati dengan nasib mereka di kawasan banjir, saya dan anggota keluarga pernah kelaparan dan haus akibat ketiadaan bekalan makanan semasa banjir. Saya tidak mahu nasib yang sama menimpa mereka lagi," katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Pusat AOHD, Jalan Gereja di sini, Ahad.

Turut bersimpati dengan nasib mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur, seorang warga Myanmar Joseph Cha Ru, 27, berkata nasib mangsa banjir di negara ini tidak ubah seperti mangsa pelarian apabila terpaksa berpindah-randah akibat kemusnahan tempat tinggal.

"Saya faham dengan situasi mereka...rumah rosak akibat banjir menyebabkan mereka tiada tempat tinggal dan hidup sehelai sepinggang, sebab itulah saya terdetik untuk membantu meringankan beban mereka," katanya yang merupakan anggota sukarelawan AOHD.

Sementara itu, penyelaras program bantuan itu, Josephine Tey berkata pihaknya mengumpulkan semua sumbangan berbentuk makanan dan keperluan harian daripada orang ramai dari gereja-gereja di sekitar Lembah Klang di Pusat AOHD untuk proses pengasingan dan pembungkusan sejak 26 Dis lepas.

"Kami mula mengumpulkan sukarelawan yang terdiri daripada golongan muda untuk membantu dalam proses pembungkusan dan pengasingan barangan sebelum diangkat ke lori untuk dihantar kepada mangsa banjir," katanya.

Katanya barangan-barangan itu akan dihantarkan ke pusat pengumpulan barangan bantuan di Gereja St Thomas, Kuantan, terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di negeri Kelantan dan Terengganu.

"Di Kuantan pula kami ada sekumpulan sukarelawan telah bersiap sedia di sana untuk proses pengagihan barangan ke tempat-tempat yang memerlukan," katanya.

Tey berkata pihaknya telah membahagikan penyaluran bantuan itu kepada tiga fasa iaitu fasa bantuan ubat-ubatan, bekalan makanan dan keperluan harian, serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan banjir.

"Fasa pertama iaitu bantuan ubat-ubatan telah dihantar ke kawasan-kawasan banjir yang memerlukan pada 29 Dis lalu dan kini kami sedang melalui fasa kedua iaitu mengagihkan bekalan makanan, air minuman serta keperluan asas kerana di sana masih tiada bekalan air yang bersih.

"Selepas itu, kami akan menggerakkan fasa ketiga iaitu menghantar pasukan sukarelawan AOHD yang terdiri daripada lebih 100 orang dari setiap negeri untuk membantu membersihkan kawasan banjir pada minggu hadapan," katanya.

Katanya orang ramai yang masih mahu menghulurkan sumbangan mereka dalam bentuk bekalan makanan dan barang keperluan boleh menghantarkannya ke Pusat AOHD atau hubungi talian 03-20780239 untuk maklumat lanjut.

Warga Asing, Banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain