suria

Mangsa Banjir di Pahang, Kelantan, Perak, Johor Terus Menurun, Sabah Kekal

iga beradik (dari kanan) Nab Mohd Ali,55, Robaayah Mohd Ali,73 dan Salabiah Mohd Ali,67, bersama cucu mereka Mohd Aliff Akil Jamiluddin,5, terpaksa menggunakan perahu untuk jalan utama bagi mendapatkan bantuan makanan dan keperluan harian apabila rumah mereka di Kampung Bakong Lambor Kiri telah ditenggelami air sejak 12 hari lepas. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Perak dan Johor semakin baik dengan bilangan mangsa dipindahkan terus menurun setakat malam ini, berbanding petang tadi manakala Sabah kekal dengan jumlah sama.

Jumlah mangsa banjir di PAHANG berkurangan sedikit kepada 31,921 orang berbanding 33,342 orang petang tadi.

Menurut laporan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah Temerloh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 12,748 orang diikuti Pekan (11,124), Maran (2,769), Bera (2,389), Jerantut (1,732), Kuantan (1,128) dan Lipis (31).

Di KELANTAN, jumlah mangsa berkurangan sebanyak 2,541 orang kepada 6,141 orang malam ini berbanding 8,682 petang tadi.

Menurut Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, kesemua mangsa yang terdiri daripada 1,387 keluarga ditempatkan di 49 pusat pemindahan di empat jajahan.
 
Setakat ini, jumlah mangsa di Kuala Krai adalah sebanyak 2,627 orang, Gua Musang (2,154), Tanah Merah (1,106) dan Machang (254).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 5,793 orang daripada 1,628 keluarga malam ini berbanding 6,067 orang daripada 1,675 keluarga petang tadi.

Jurucakap MKN Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 38 pusat pemindahan di lima daerah iaitu di Perak Tengah menempatkan 4,555 mangsa, Hulu Perak (610), Hilir Perak (300), Kuala Kangsar (168) dan Manjung (160).

Di JOHOR, jumlah mangsa menurun sedikit iaitu daripada 28 orang petang tadi kepada 20 orang malam ini di satu pusat pemindahan di Segamat.

Jumlah mangsa di SABAH tidak menunjukkan perubahan iaitu 50 orang daripada 23 keluarga di satu pusat pemindahan di Pitas, menyamai jumlah petang tadi.

mangsa banjir

Artikel Lain