suria

Pesara Tentera Terlibat Banjir Diminta Mohon Bantuan JHEV

MELAKA: Semua pesara tentera yang terlibat dengan banjir diminta segera mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi mendapatkan bantuan wang ehsan RM500 yang diperuntukkan kerajaan.

Ketua Pengarahnya Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata pesara terbabit perlu mengemukakan permohonan segera bagi membolehkan jabatan itu membantu mereka dengan secepat mungkin.

"Setakat ini kira-kira 20,000 veteran tentera dikenal pasti terjejas banjir namun jumlah sebenar masih belum diketahui, jadi semua veteran diminta agar segera memohon kepada kami," katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah tugas Pengarah JHEV Negeri Sembilan dan Melaka yang baharu Mejar Zulfazlee Zamri, 37, menggantikan Mejar Mohd Wazli Laili, 39.

Mohd Wazli akan melanjutkan pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, manakala Zulfazlee sebelum ini bertugas di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.

Pada Khamis lepas, Kementerian Pertahanan mengumumkan akan menyalurkan bantuan wang ehsan sebanyak RM500 kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kakitangan awam dan veteran ATM yang terbabit dalam bencana banjir secara berperingkat bermula pertengahan bulan ini.

Sementara itu Mohd Noor berkata pihaknya akan turut menumpukan projek membina dan membaik pulih rumah yang terjejas banjir di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

"Kita akan kenal pasti berapa ramai yang rumah mereka terjejas teruk dan kita akan bantu baik pulih rumah dan bina semula rumah mereka," katanya.


Tentera, Banjir, JHEV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain