suria

Polis Lepaskan Tembakan Sebelum Cekup Suspek Pecah Rumah

JOHOR BAHARU: Polis melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu secara melulu, sebelum menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah, di Jalan Kebun Teh di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata anggota polis cegah jenayah yang sedang menjalankan operasi terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan, pada pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata polis kemudiannya menghampiri kereta tersebut dan mendapati terdpat dua lelaki, seorang di dalam kereta sementara seorang lagi berada di luar kereta.

"Apabila menyedari kehadiran polis, suspek yang berada di dalam kereta terus menghidupkan enjin kenderaan tersebut dan mengundurkannya sehingga melanggar dua buah motosikal yang ditunggangi anggota kita.

"Namun anggota kita sempat melompat (dari motosikal) sebelum enjin motosikal mereka terbakar. Pada waktu itu, demi mempertahankan nyawa mereka, kedua-dua anggota kita terpaksa melepaskan dua tembakan yang mengenai kenderaan suspek," katanya selepas merasmikan misi menghantar bantuan untuk mangsa banjir ke pantai timur, di Balai Polis Bandar Dato Onn di sini, Jumaat.

Sulaiman berkata suspek yang berada di dalam kereta dapat melarikan diri manakala yang diluar kereta yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan.

Beliau berkata suspek yang ditahan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah.

Kes disiasat atas cubaan membunuh penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Bagi bantuan itu, beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan menghantar bantuan berjumlah RM250,000 untuk 2,000 hingga 3,000 mangsa banjir mulai hari ini.

Bantuan merangkumi 10 tan beras, satu tan gula, 200 kilogram garam, satu tan minyak masak, 1,000 tin susu pekat, 1,000 tin sardin dan 1,000 kotak air minuman, yang disumbangan pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan, orang awam serta anggota polis.


Tembakan, Pecah Rumah

Artikel Berikut

Artikel Lain