suria

Banjir: Terengganu Hampir Pulih, Kelantan Bertambah Baik

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu hampir pulih, dan setakat 12 tengah hari ini hanya tinggal satu daerah iaitu Dungun yang masih terjejas melibatkan 2,917 mangsa berbanding 4,359 mangsa, pagi Jumaat.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya tinggal tiga pusat pemindahan sahaja yang masih beroperasi di Dungun manakala pusat pemindahan di daerah lain telah ditutup.

Tinjauan di Kemaman mendapati keadaan cuaca yang baik dan air yang semakin surut membolehkan kebanyakan mangsa pulang ke rumah masing-masing dan memulakan aktiviti membersihkan rumah.

Di KELANTAN, keadaan banjir juga semakin baik apabila merekodkan penurunan jumlah mangsa iaitu 27,282 orang tengah hari ini berbanding 28,087 orang, pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, mangsa yang terdiri daripada 6,830 keluarga masih ditempatkan di 151 pusat pemindahan di tujuh jajahan.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah adalah sebanyak 14,184 orang, Tumpat (976 orang), Kuala Krai (5,645 orang), Kota Baharu (635 orang), Machang (2,555 orang), Pasir Mas (281 orang), Gua Musang (3,006 orang).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu 7,513 orang berbanding 7,400 orang pagi tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata bagaimanapun dua pusat pemindahan di Kerian iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah dan SK Alor Pongsu yang menempatkan 104 mangsa telah ditutup.

Menurut jurucakap itu, kawasan Perak Tengah masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 5,216 mangsa daripada 1,444 keluarga manakala di Kuala Kangsar (1,145 orang), Hulu Perak (758 orang), Manjung (128 orang) dan Hilir Perak (266 orang).

Sementara itu di PAHANG dan JOHOR setakat tengah hari ini tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan masing-masing kekal seperti yang direkod pagi tadi.

Di PAHANG, seramai 44,591 mangsa masih ditempatkan di 203 pusat pemindahan membabitkan lapan daerah setakat tengah hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 20,962 orang di 69 pusat pemindahan diikuti Pekan (10,964 orang/36 pusat), Jerantut (4,549 orang/38 pusat), Bera (3,303 orang/19 pusat), Maran (2,454 orang/21 pusat), Lipis (1,252 orang/ 15 pusat), Kuantan (1,058 orang/empat pusat) dan Rompin (49 orang/ satu pusat).

Di JOHOR, jumlah mangsa kekal 138 orang daripada 32 keluarga.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor berkata terdapat enam pusat pemindahan yang masih aktif, iaitu satu di Batu Pahat dan lima di Segamat.


Banjir, Terengganu, Kelantan

Artikel Lain