suria

Banjir: Mangsa Hilang Rumah Dibantu Secepat Mungkin

GUA MUSANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memastikan penduduk terutama mereka yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir mendapat pembelaan secepat mungkin.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya juga akan meneliti semua kawasan yang dilanda banjir sama ada sesuai dibina semula rumah atau sebaliknya bagi mengelak penduduk ditimpa bencana itu pada masa hadapan.

Beliau berkata bagi mangsa banjir di jajahan Gua Musang, mereka akan diberi keutamaan menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaran Raya di Bandar Baharu di sini, dengan segera.

"Rumah PPR sebanyak 1,000 unit sudah siap dibina dan kerajaan akan mengagihkan kepada penduduk terbabit secepat mungkin supaya mereka dapat tinggal di rumah yang selesa.

"Bagaimanapun, keputusan pengagihan rumah PPR itu diserahkan kepada anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan dilanda banjir di bandar ini, Jumaat.

Mohd Shafie melawat Bandar Lama, Kampung Baharu Hulu, Kampung Tiong, Kampung Lembaga, Kampung Kundur dan Kampung Nerang yang paling teruk dilanda banjir baru-baru ini.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof; Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Nozula Mat Diah dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah.

Mohd Shafie turut menyifatkan banjir di Gua Musang dan Kuala Krai adalah yang paling buruk menyebabkan banyak penduduk kehilangan tempat tinggal dan kediaman mereka rosak teruk.

Beliau berkata dengan segala jentera yang ada, kerajaan yakin dapat mengambil langkah segera untuk membaiki segala kemudahan asas yang turut mengalami kerosakan teruk.

"Kemudahan asas yang paling penting untuk diselesaikan segera ialah bekalan air, elektrik dan jalan raya di samping kesihatan mangsa banjir juga perlu diutamakan dengan memberi rawatan," katanya.


Banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Lain