suria

Johor Haramkan 'Orang Tengah' Berurusan Di Pejabat Kerajaan

NUSAJAYA: Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan penggunaan 'orang tengah' bagi mewakili individu atau sesebuah syarikat semasa berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim berkata tindakan berkenaan bertujuan mengelakkan penyalahgunaan kuasa di kalangan ketua jabatan kerajaan sekali gus menepis persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam negeri ini.

"Terdapat tuduhan mengatakan 'orang tengah' atau broker yang mewakili individu atau syarikat untuk mengurus dan memudahkan apa jua perkhidmatan di jabatan kerajaan itu dilayan baik oleh ketua jabatan contohnya di Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perjumpaan dan pengumuman pertukaran pegawai kanan kerajaan negeri Johor, di Kota Iskandar, Khamis.

Ismail berkata sehubungan itu, kerajaan negeri mengingatkan ketua jabatan supaya tidak melayan 'orang tengah' terbabit kecuali badan profesional yang dilantik dan mempunyai kuasa bagi mewakili sesebuah syarikat atau individu untuk berurusan dengan kerajaan negeri.

Terdahulu, pada majlis itu, Ismail mengumumkan pertukaran membabitkan 34 jawatan kanan pegawai tadbir Johor menerusi tiga fasa berkuatkuasa 1 Dis 2014, 1 Januari dan 15 Januari ini termasuk mewujudkan satu jawatan baru bagi mengurus serta menyelia Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Antara jawatan itu menyaksikan, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Md Rofiki A Shamsudin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ berkuatkuasa 15 Januari ini manakala jawatannya akan diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Mohd Noh Ibrahim.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Norizan Kulob dilantik sebagai Pengarah JAJ berkuatkuasa 1 Disember lepas dan jawatannya kini diambil alih bekas Pegawai Daerah Johor Baharu Amran A Rahman.

Ismail berkata pertukaran beberapa jawatan kanan itu bertujuan melicinkan pentadbiran kerajaan negeri sekali gus memastikan agenda pembangunan dan ekonomi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

"Segala pencapaian yang membanggakan sepanjang tahun lalu dilaksanakan dengan baik, pertumbuhan ekonomi yang rancak, penyampaian perkhidmatan awam yang cekap hinggalah keupayaan menguruskan defisit, semuanya tercapai hasil dedikasi pejawat awam.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenan mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dicapai jabatan serta agensi kerajaan negeri sepanjang tahun 2014 dan saya berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai tahun ini," katanya.

Johor, Kerajaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pemuda Cedera Ditembak

Artikel Lain