suria

Banjir: Terengganu Pulih, Kelantan, Pahang Johor Kekal

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu terus semakin pulih berikutan jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan lagi tengah hari ini berbanding pagi tadi manakala bilangan mangsa di Kelantan, Pahang dan Johor tiada perubahan.

Di Terengganu, menurut statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 9,040 orang pada tengah hari ini berbanding 10,051 orang pagi Khamis.

Mangsa di Dungun kini 4,289 orang, Kemaman (4,570 orang) dan Kuala Terengganu tinggal (181 orang).

Di Kelantan menurut jurucakap MKN Kelantan, walaupun keadaan banjir semakin pulih, namun masih ramai mangsa berada di pusat pemindahan berikutan kehilangan rumah, rumah rosak teruk, rumah yang kotor dan berlumpur.

Setakat tengah hari ini jumlah mangsa kekal 44,081 orang setelah turun mendadak berbanding 81,458 orang malam tadi yang terdiri daripada 10,753 keluarga dan kini ditempatkan di 178 pusat pemindahan di lapan jajahan.

Daerah lain ialah Tanah Merah seramai 14,184 orang, Tumpat (9,524 orang), Kuala Krai (5,645 orang), Kota Baharu (4,910 orang), Machang (3,769 orang), Pasir Mas (3,015 orang), Gua Musang (3,006 orang) dan Pasir Puteh (28 orang).

Di Pahang, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini kekal 50,272 orang seperti di sebelah pagi yang masih ditempatkan di 232 pusat pemindahan di lapan daerah.

Temerloh masih mencatat 21,773 orang mangsa, Pekan (13,425 orang), Jerantut (4,776 orang), Bera (3,174 orang), Maran (3,021 orang), Lipis (2,745 orang), Kuantan (1,174 orang) dan Rompin (130 orang).

Di Johor pula, jumlah mangsa banjir kekal 138 orang daripada dua daerah terjejas iaitu Segamat (93 orang) dan Batu Pahat (45 orang).

Bagaimanapun jumlah mangsa di Perak mencatat sedikit peningkatan iaitu seramai 7,360 orang berbanding 7,313 orang pagi tadi yang kini ditempatkan di 52 pusat pemindahan.

Menurut jurucakap MKN Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah 5,192 orang, Kuala Kangsar (1,231 orang), Hulu Perak (762 orang), Kerian (107 orang) dan Manjung (68 orang).

Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain