suria

Demi Anak, Isteri Mangsa Nahas MH370 Kini Miliki Jenama Busana Muslimah

DETIK INDAH... Intan Maizura bersama Iman (kiri) dan Muhammad.

PETALING JAYA: Impian Intan Maizura Othaman, isteri kepada kru pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang terbabit dalam nahas 8 Mac lalu untuk memiliki jenama busana muslimahnya sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Mahu bangkit dari kepiluan sejak insiden itu, isteri kepada pramugara pesawat malang itu, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan kini tampil lebih yakin dengan rekaan jubah dan hijab menggunakan label Diamonds by Diamond.

Menurut Intan Maizura, jenama tersebut merupakan cetusan idea bersama kakaknya, Intan Safina yang dimulakan dengan modal sebanyak RM10,000.

Intan memperagakan koleksi jubah rekaan Diamonds by Diamond. - foto ihsan Intan Maizura.

"Ia diluar jangkaan saya. Saya memang meminati bidang fesyen tapi hasrat untuk berniaga sebelum ini terbatas kerana terikat dengan komitmen pada keluarga dan kerjaya sebagai pramugari," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, wanita berusia 34 tahun ini nyata tampak lebih matang kini apabila ujian besar yang dihadapinya ketika ini umpama satu hikmah dan hasrat itu dipermudahkan Allah dengan diberikan peluang untuk membuka perniagaan sendiri.

"Alhamdulillah atas rezeki Allah ini. Walaupun masih lagi baharu, sambutan yang kami terima amat menggalakkan," katanya.

Intan Maizura yang juga seorang pramugari MAS berkata, koleksi hijab dan jubah tersebut boleh didapati menerusi laman Instagramnya (IG) intanmaizuraothaman atau diamondsbydiamond.

Antara gelagat Muhammad ketika menemani ibunya di gerai pameran.

Wanita yang masih bercuti panjang sejak tragedi yang menimpa suami tercintanya akan membawa bersama anak bongsu mereka, Muhammad Mohd Hazrin, yang berusia tujuh bulan ke gerai pameran yang disertainya.

"Saya akan bawa Muhammad setiap kali berniaga di gerai pameran. Alhamdulillah, dia budak yang baik dan tidak banyak ragam. Lagipun dia masih lagi menyusu badan dan saya tidak boleh berpisah dengannya terlalu lama," kata Intan Maizura.

Semasa temu bual ini, sesekali suaranya tidak begitu jelas kedengaran kerana sebak apabila bercerita mengenai anak sulungnya, Iman, 5, yang sehingga hari ini masih bertanyakan bapanya.

"Iman rapat dengan papanya. Walaupun sembilan bulan telah berlalu, dia sentiasa bertanyakan mengenai papanya setiap hari. Saya hanya boleh beritahu dia bahawa papanya di syurga. 

Iman sehingga hari ini masih tertanya-tanya mengenai bapanya.

"Dia akan menulis sesuatu kepada papanya dan meletakkan kertas itu di dalam sebuah kotak kecil sebelum tidur. Dia kata mahu tunjuk kepada papanya apabila di syurga nanti. Ia membuatkan saya terdiam seketika lalu menitiskan air mata," katanya.

Bagaimanapun, Intan Maizura berkata, beliau akan terus berdoa kepada Allah agar misteri kehilangan pesawat yang dinaiki suaminya terungkai dan sentiasa diberi 
kekuatan untuk membesarkan anak-anaknya.

"Sampai bila lagi kami terpaksa menunggu. Kami mahukan jawapan mengenai nasib orang yang kami sayang. Semoga Allah memakbulkan setiap doa keluarga mangsa yang terlibat," katanya.

Mengimbau kembali detik hitam itu, Intan Maizura berkata, beliau tidak menonton televisyen selama hampir dua bulan kerana tidak boleh menerima apa sahaja berita mengenai pesawat tersebut.

"Saya tak boleh tengok berita mengenainya. Semasa dalam tempoh berpantang baharulah saya mula peroleh kekuatan sedikit demi sedikit. Saya kata pada diri sendiri, saya kena bangkit demi diri sendiri dan anak-anak," katanya mengakhir perbualan.

Penerbangan MH370, dengan 239 orang di atas kapal dalam perjalanan ke Beijing apabila ia hilang kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

















Wanita yang masih bercuti panjang sejak tragedi yang menimpa suami tercintanya akan membawa bersama anak bongsu mereka, Muhammad Mohd Hazrin, yang berusia tujuh bulan ke gerai pameran yang disertainya.
Wanita yang masih bercuti panjang sejak tragedi yang menimpa suami tercintanya akan membawa bersama anak bongsu mereka, Muhammad Mohd Hazrin, yang berusia tujuh bulan ke gerai pameran yang disertainya.

Artikel Lain