suria

QZ8501: Operasi SAR Diteruskan Walaupun Cuaca Gelap

JAKARTA: Usaha Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diteruskan lewat Selasa walaupun cuaca semakin gelap, kata jurucakap Tentera Laut, Manahan Simorangkir. 

Pasukan mencari dan menyelamat itu akan menggunakan lampu suluh berkuasa tinggi di kawasan perairan tempat mayat dan serpihan bangkai pesawat itu ditemui, kata Manahan dalam temu bual disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen, TVOne

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya dapat mengesahkan mayat seorang wanita telah dibawa ke sebuah pangkalan berhampiran. 

Pihak berkuasa telah mengesahkan penemuan sisa bangkai pesawat itu dan beberapa mayat yang terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada tengah hari Selasa.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama. 

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia). 

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, 3 Korea Selatan, 1 Singapura, 1 Malaysia dan 1 United Kingdom. 

Kru terdiri daripada 6 Indonesia dan 1 Perancis.


QZ8501

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain