suria

Tindakan Jawi Rampas Buku Irshad Manji Menyalahi Undang-Undang

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa memutuskan bahawa tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta dua pihak lain menyerbu kedai buku Borders dan merampas buku karangan Irshad Manji dua tahun lepas, menyalahi undang-undang.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Mah Weng Kwai itu juga memutuskan bahawa tindakan Jawi dan dua perayu melakukan serbuan terhadap kedai buku itu serta menyiasat kes Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders dan dua pekerjanya, adalah tidak munasabah dan tidak rasional.

Dua pekerja berkenaan ialah pengurus besar operasi dan perniagaan Borders, Stephen Fung Wye Keong dan Nik Raina Nik Abdul Aziz, pengurus stor kedai buku Borders di The Gardens, Mid Valley City. 

Dua perayu berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam.

Mah, yang mendengar rayuan itu bersama Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, berkata tiada sebarang tindakan yang boleh diambil terhadap responden pertama, Berjaya Books, kerana ia adalah entiti korporat dan pihak yang tidak boleh menganut sebarang agama.

Panel itu sebulat suara menolak rayuan Jawi dan dua perayu lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Mac 2013, yang membenarkan Berjaya Books, Fung dan Nik Raina memohon semakan kehakiman bagi mengetepikan tindakan Jawi menyerbu kedai buku itu serta merampas beberapa buku karangan Irshad Manji bertajuk "Allah, Liberty and Love" pada 23 Mei 2012 dari kedai buku berkenaan di pusat beli-belah The Gardens.

Dalam penghakiman setebal 44 muka surat, Mah juga berkata tindakan Jawi menyiasat kes terhadap Nik Raina adalah tidak munasabah dan bersifat mala fide.

Katanya di negara pelbagai agama seperti Malaysia, Jawi perlu peka untuk memperbetulkan tindakannya bagi mengelaknya daripada ditimpa persepsi tidak baik bahawa tindakan mengambil orang Islam bekerja dalam sesebuah organisasi di Malaysia akan mengundang penguatkuasaan tidak sewajarnya dikenakan terhadap organisasi itu oleh pihak seperti Jawi.

Beliau berkata, Fung berjaya menunjukkan bahawa tindakan Jawi apabila pegawai jabatan itu memeriksa dan menyiasatnya berhubung buku itu adalah tidak sah dan tidak rasional serta merupakan suatu penyelewengan dan tidak munasabah dari segi penggunaan budi bicara, tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut prosedur.

Nik Raina ditangkap Jawi pada 30 Mei 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana kesalahan menyebar dan mengedar dengan cara menjual buku yang didapati bercanggah dengan Hukum Syarak.

"Kami berpendapat, oleh kerana buku berkenaan sudah diedar di peringkat antarabangsa dan tempatan, maka adalah salah dari segi keadilan untuk mendakwa seseorang itu melakukan kesalahan atas alasan perbuatannya bercanggah dengan Hukum Syarak, sedangkan tidak terdapat fakta rujukan untuk orang ramai membuat rujukan bagi mengetahui bentuk kesalahan itu, seperti perintah larangan atau sebarang bentuk pemberitahuan umum lain," kata Mah. 

Beliau berkata, panel itu mendapati bahawa setakat 23 Mei 2012, tarikh pencarian dan rampasan buku itu, tidak terdapat fatwa, perisytiharan atau pekeliling yang dikeluarkan Jawi atau mana-mana pihak berkuasa agama yang melarang penerbitan dan penjualannya oleh responden atau orang lain kerana melanggar Hukum Syarak.

Panel itu juga berkata perintah larangan hanya dikeluarkan Menteri Dalam Negeri pada 29 Mei 2012, enam hari selepas buku berkenaan dirampas dan diwartakan pada 14 Jun 2012.

"Tanpa wujudnya sebarang fatwa, pemberitahuan awam atau perintah larangan pada 23 Mei 2012 untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang status buku itu yang "menyalahi undang-undang", maka, pada pendapat kami, ia melangar semangat keadilan dan kejujuran untuk menuduh responden melanggar Seksyen 13 Akta berkenaan," katanya.

Mengenai isu bidang kuasa, Mah berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan Berjaya Books, Fung dan Nik Raina kerana Mahkamah Tinggi melaksanakan bidang kuasa penyeliaan sivilnya tentang kebebasan asas dan menghakimi perilaku yang dikatakan bercanggah dengan perlembagaan, yang dilakukan pihak berkuasa awam.

Katanya, adalah menjadi tugas mahkamah itu untuk menjunjung, melindungi dan memastikan keadilan dilaksanakan secara lazim dan berkesan menurut undang-undang.

"Oleh yang demikian, rayuan ini ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos. Perintah Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Mah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Nik Raina berkata beliau gembira dengan keputusan pada Selasa dan ia boleh dijadikan rujukan untuk orang Islam yang

bekerja di sesebuah kedai buku pada masa akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain