suria

Mangsa Banjir Di Pahang, Perak, Kelantan Meningkat, Terengganu Menurun

MUSNAH... Mangsa banjir, Mohd Izuan Mohd Zin, 22, (kanan) dan Nurul Badriah Mohd Shukri, 15, sedih melihat rumah mereka musnah dalam bencana banjir di Kampung Guchil 3 di Kuala Krai pada Selasa. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Perak, dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi Selasa, manakala di Terengganu menunjukkan penurunan dan di Johor tidak berubah berbanding malam Isnin.

Di PAHANG, jumlah mangsa yang dipindahkan mencatat peningkatan ketara iaitu 49,369 orang berbanding 35,501 orang malam Isnin.

Mereka ditempatkan di 262 pusat pemindahan dalam lapan daerah yang masih terjejas. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, semua lapan daerah terlibat menunjukkan pertambahan mangsa banjir dengan Temerloh masih menempatkan jumlah paling banyak 19,875 mangsa banjir ditempatkan di 62 pusat pemindahan.

"Tujuh lagi daerah ialah Pekan sebanyak 9,387 mangsa di 40 pusat pemindahan, Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat), Maran (4,351 di 32 pusat), Kuantan (3,880 di 17 pusat), Lipis (2,930 di 27 pusat), Bera (2,755 di 19 pusat), dan Rompin (166 di enam pusat)," katanya.

Di PERAK, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kerian kian bertambah, dan ia menjadikan keseluruhan mangsa di seluruh negeri seramai 7,735 orang daripada 2,049 keluarga, berbanding 7,408 daripada 1,948 keluarga malam Isnin.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, setakat ini di daerah Kerian, seramai 300 orang daripada 90 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan.

Daerah Perak Tengah masih terjejas teruk dengan seramai 4,512 mangsa daripada 1,201 keluarga kini berada di 19 pusat pemindahan.

Di daerah Hulu Perak, sebanyak 746 orang daripada 202 keluarga ditempatkan 16 pusat pemindahan.

Di daerah Kuala Kangsar yang turut meliputi kawasan Sungai Siput, jumlah mangsa tidak banyak berubah setakat ini iaitu 2,177 orang daripada 556 keluarga berada di 22 pusat pemindahan.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit kepada 142,582 pagi ini orang berbanding 142,564 orang malam Isnin.

Kesemua mangsa di tempatkan di 317 pusat pemindahan melibatkan 35,894 keluarga.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan jalan di negeri tersebut telah dibuka dan air di kebanyakan kawasan telah mula surut pagi Selasa.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak berubah iaitu 171 orang daripada 49 keluarga setakat 8 pagi Selasa. 

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan iaitu satu di Muar, masing-masing dua di Batu Pahat dan Kluang dan tiga di Segamat.

Sementara itu, satu jalan masih ditutup iaitu Jalan Kampung Asli Sedohok di daerah Kluang.
 
Keadaan banjir di TERENGGANU pula semakin surut, dan jumlah mangsa menurun kepada 30,652 pagi ini berbanding 31,805 malam Isnin.

Mengikut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, lebih 1,100 mangsa telah meninggalkan pusat pemindahan sejak Isnin hingga pagi Selasa.

Kini masih terdapat 21,532 mangsa di Kemaman di 36 pusat pemindahan, Dungun (8,770 di 27 pusat), Hulu Terengganu (74 di empat pusat) dan Kuala Terengganu (276 di enam pusat).


banjir, Pantai Timur

Artikel Berikut

Artikel Lain