suria

Banjir: Doktor Persendirian Diperlukan Untuk Program Sukarelawan

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA meminta pakar perubatan persendirian untuk menjadi sukarelawan Program YouthCare bagi membantu mangsa banjir terutama di pantai timur.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata kehadiran mereka amat penting bagi membantu pakar perubatan awam yang telah dikerahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memeriksa dan merawat mangsa.

"Seperti yang diketahui, mangsa banjir terdedah dengan risiko pelbagai penyakit seperti demam denggi, penyakit kulit, keracunan makanan dan sebagainya.

"Oleh itu kami ingin mengajak doktor-doktor persendirian untuk bersama kami  bagi merawat atau mencegah mangsa dari sebarang penyakit berkaitan banjir," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Sementara itu katanya, Pemuda MCA menyediakan kemudahan pengangkutan untuk para belia terutama yang berasal dari Kelantan tetapi menetap di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung membantu anggota keluarga mereka membersih dan memulihkan kawasan kediaman yang telah dilanda banjir.

Katanya rombongan pertama akan bertolak ke Kelantan esok dengan menaiki bas pada jam 9 pagi dan akan berhenti di Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Baharu.

Mereka yang berminat untuk pulang ke Kelantan esok boleh menghubungi Ketua Koordinasi YouthCare, Nicole Wong di talian 012-3269069 atau Sean Tan (016-6596888), katanya.

Jelasnya rombongan yang turut membawa barangan keperluan mangsa yang dibeli dari hasil dana yang dikumpul tabung YouthCare akan pulang ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Seterusnya Pemuda MCA mengajak golongan belia untuk mengambil kesempatan sempena cuti tahun baharu menyertai rombongan kedua misi YouthCare ke Kelantan pada pagi Jumaat.

Sin Woon turut berkata pihaknya akan meneruskan misi rombongan sukarelawan ke negeri-negeri yang telah pulih dari banjir untuk membantu mangsa membersihkan kawasan mereka.

Sementara itu, mangsa banjir disaran untuk mengemukakan senarai barang keperluan yang diperlukan mereka di laman facebook YouthCare Movement Malaysia.

"Perkara ini bagi memudahkan kami untuk mengkoordinasi barang sumbangan kerana mangsa di setiap lokasi mungkin memerlukan barang keperluan yang berbeza" katanya.


Banjir, Kelantan

Artikel Berikut

Artikel Lain