suria

QZ8501: Industri Penerbangan Runsing Jika Pesawat Kedua 'Ghaib'

SINGAPURA: Sambil menyuarakan kesedihan berhubung berita kehilangan sebuah lagi pesawat komersial di rantau Asia-Pasifik pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 - Wisner Law Firm menyifatkan kejadian itu sebagai "sesuatu yang merunsingkan".

Floyd Wisner, peneraju Wisner Law Firm berkata: "Firma kami mewakili keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 (dan MH17) dan kemungkinan kehilangan sebuah lagi pesawat di kawasan ini sungguh merunsingkan."

Beliau berharap para penyiasat akan dapat mengesan dengan segera pesawat itu dan memulakan proses untuk menentukan punca kehilangannya.

"Oleh kerana ini adalah penerbangan antarabangsa, tanggungjawab AirAsia akan tertakluk kepada persetiaan antarabangsa, Konvensyen Montreal, yang meletakkan tanggungjaab sepenuhnya kepada syarikat penerbangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Bagaimanapun, kata beliau, Wisner Law Firm yakin para penyiasat akan menganalisis dengan teliti kemungkinan pesawat Airbus ini mengalami masalah mekanikal.

Firma guaman ini juga mewakili lebih 180 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus Penerbangan 72 Qantas yang ditimpa nahas ketika dalam penerbangan dari Singapura ke Perth, Australia Barat.

Masalah komputer menyebabkan pesawat Airbus itu terhempas.

Wisner Law Firm juga mewakili keluarga mangsa penumpang dan anak kapal pesawat Airbus Air France yang terhempas di Lautan Atlantik.

"Kami ingin menegaskan bahawa nahas ini, sebahagian daripadanya, adalah berpunca daripada kecacatan dalam teknologi 'fly-by-wire' pesawat Airbus," kata Wisner.

Wisner Law Firm mempunyai banyak klien di rantau ini dan mewakili keluarga mangsa nahas penerbangan Garuda 152, Silk Air 185, Garuda 200, Garuda 421, Lion Air JT 904, Lion Air JT 538, Adam Air KI 574 dan Adam Air KI 292.

Floyd Wisner adalah antara peguam penerbangan paling disegani di dunia.

QZ8501, MH370, MAS, AirAsia, Singapura

Artikel Lain