suria

QZ8501: Laporan Penemuan Objek Tidak Disahkan - Jusuf

Jusuf Kalla. Foto AFP

SURABAYA: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, penemuan objek yang mungkin dikaitkan dengan kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dilaporkan kepada Kerajaan Indonesia tidak disahkan.

Bercakap kepada pemberita di pusat krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di sini, Jusuf berkata, mereka menerima laporan tersebut tetapi tiada tanda-tanda bahwa petunjuk itu boleh dipercayai.

"Kita masih belum terima maklumat yang jelas mengenainya," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga para penumpang pesawat itu di sini, Isnin.

Beberapa portal media melaporkan bahawa pesawat milik Australia, Orion mengesan beberapa objek, yang dipercayai merupakan serpihan pesawat itu dekat Pulau Nangka, kira-kira 160 kilometer (km) barat daya dari Pengkalan Bun.

Lokasi itu berhampiran dengan Kalimatan Tengah atau 1,120km dari lokasi di mana pesawat itu dilaporkan terputus hubungan.

Sementara itu, sebuah helikopter milik Indonesia di bahagian timur Pulau Belitung dilaporkan mengesan tumpahan dua tompokan minyak di perairan kira-kira 150 batu nautika timur Tanjung Pandang, kedudukan yang lebih dekat dengan lokasi pesawat itu terputus hubungan.

Bagaimanapun, Jusuf menegaskan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat semua maklumat yang diterima secepat mungkin.

"Tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk operasi mencari. Kita berdoa yang terbaik, tetapi kita juga bersedia untuk berdepan dengan perkara buruk," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Indonesia telah menggunakan 30 kapal, 15 pesawat, pakar-pakar malah turut melibatkan nelayan untuk melakukan pencarian.

Tambahnya, selain Malaysia, Singapura dan Australia, mereka juga bersetuju untuk menerima bantuan dari Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

QZ8501, Jusuf Kalla

Artikel Sebelum

Artikel Lain