suria

Najib Ke Pahang, Bagi Perangsang Kepada Mangsa Banjir

KUALA LIPIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Clifford di sini, lokasi pertama daripada beberapa kawasan dan pusat pemindahan banjir di Pahang yang akan dilawati beliau.

Najib yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob tiba di pusat pemindahan yang menempatkan 315 mangsa dari kawasan banjir berdekatan pada 10.45 pagi.

Dalam ucapannya, Najib meminta mangsa banjir yang terdiri daripada 173 lelaki dan 137 perempuan supaya bersabar menghadapi musibah di luar jangkaan itu ketika kerajaan persekutuan dan negeri sedang bekerjasama rapat untuk melakukan yang terbaik untuk meringankan bebanan yang ditanggung semua mangsa.

Beliau berkata antara tindakan segera yang diambil kerajaan adalah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta semalam bagi membantu mangsa banjir serta mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada pertengahan Januari berbanding akhir bulan itu seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya walaupun bantuan yang diberi tidak mampu menampung segala kerugian yang dialami mangsa, namun kerajaan tetap cuba melakukan yang terbaik demi rakyat.

Sementara itu, Najib ketika berucap di hadapan 410 orang mangsa di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku, menyifatkan bencana itu sebagai pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab dalam 'melakukan sesuatu' bagi mengelakkan banjir berlaku.

Perdana Menteri turut berkongsi kesedihannya dengan apa yang berlaku dan menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang dapat bersama-sama rakyat ketika mereka dilanda musibah.

Najib turut menarik perhatian bahawa keputusannya untuk pulang segera daripada percutian bersama keluarga di Hawaii adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang ditanggung semua mangsa.

"Walaupun keluarga saya juga bersedih kerana ditinggalkan tetapi saya bagitahu mereka apa yang mereka alami tidak dapat menandingi perasaan yang dirasai mangsa banjir dan saya bersyukur kerana dapat membuat beberapa keputusan bagi mengurangkan kesedihan mangsa," katanya.

Selepas Kuala Lipis, Najib juga akan melawat ke beberapa kawasan yang dilanda banjir di Jerantut dan Temerloh. 


Banjir, Pahang

Artikel Lain