suria

Banjir: TNB Guna 70 Set Janakuasa Salur Elektrik

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan 70 set janakuasa berkapasiti antara 500 kiloWatt (kW) hingga 1,000 kW untuk membekalkan elektrik kepada negeri-negeri yang teruk dilanda banjir setakat pagi Sabtu.

Daripada jumlah itu, 45 set janakuasa kini berada di Pahang, Terengganu (19), Perak (5) dan Kelantan (1), kata Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB Abdul Aziz Abdul Majid, merangkap Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB.

Beliau berkata tiga lagi set janakuasa sedang dalam proses untuk membekalkan elektrik di Kelantan.

"Kami menghadapi kesukaran untuk menghantar set janakuasa ke Kelantan kerana keadaan banjir yang masih teruk dan jalan yang boleh dilalui masih terhad," katanya menerusi kenyataan media di sini, Sabtu.

Katanya kesemua set janakuasa ini dibekalkan untuk kawasan-kawasan yang penting dan pusat pemindahan mangsa banjir yang boleh dilalui kenderaan.

"Namun kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan kawasan-kawasan yang bergelap akan mendapat bekalan elektrik sebaik keadaan mengizinkan," katanya.

Abdul Aziz berkata TNB juga sedang menghantar beberapa lagi set janakuasa lain sama ada milik TNB sendiri atau milik rakan-rakan niaganya ke kawasan yang terjejas.

Selain itu, 22 janakuasa mudah alih telah dibekalkan ke beberapa pusat pemindahan setakat ini.

"Pihak kami sedang mengumpulkan janakuasa mudah alih milik kami dari beberapa negeri supaya lebih banyak lagi boleh dibekalkan," katanya.


TNB, Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain