suria

Kerajaan Pastikan Usaha Terbaik Bantu Mangsa Banjir - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memastikan segala usaha dilakukan bagi membantu semua mangsa menghadapi banjir yang begitu mencabar tahun ini.

Najib berkata beliau telah berhubung dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara bagi mempertingkatkan lagi usaha membantu mangsa banjir, terutama di kawasan terjejas teruk dan berisiko tinggi.

"Saya telah meminta timbalan perdana menteri mempertingkatkan lagi operasi penghantaran bantuan berupa makanan berikutan wujudnya kesukaran untuk sampai ke kawasan banjir tertentu," katanya dalam kenyataanpada Khamis.

Perdana menteri berkata beliau diberitahu bahawa antara punca utama usaha memindahkan mangsa banjir dan penghantaran makanan agak sukar dilakukan di sesetengah tempat adalah disebabkan paras air yang sangat tinggi, arus derasyang berbahaya untuk kenderaan dan bot penyelamat.

Selain itu, beliau berkata ada juga pusat pemindahan yang turut ditenggelami air.

Najib berkata beliau turut dimaklumkan bahawa usaha penghantaran bantuan menerusi helikopter terganggu berikutan cuaca buruk yang menyukarkan penerbangan dilakukan.

Jelasnya, ada juga situasi helikopter tidak dapat mendarat untuk menurunkan bantuan kerana tiada lokasi sesuai berhampiran pusat pemindahan.

Namun, Najib berkata beliau yakin pasukan penyelamat terdiri pelbagai agensi kerajaan dan anggota sukarelawan sedang bertungkus lumus memberi bantuan terbaik termasuk mencari ikhtiar untuk sampai ke lokasi pemindahan yang sukar untuk menyalurkan bantuan.

Lebih 90,000 mangsa dilapor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan banjir yang melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan yangterbaharu Kedah. 

banjir, najib tun razak

Artikel Lain