suria

Dua Mayat Lelaki Warga Asing Ditemui Di Bukit Mertajam

Polis menemui mayat mangsa pertama yang dibuang di Jalan Sungai Lembu di Bukt Mertajam, Khamis. Foto: MUSTAFA AHMAD/The Star

BUKIT MERTAJAM:  Dua mayat lelaki dipercayai warga asing dijumpai secara berasingan di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok pada Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP P.R Gunarajan berkata mayat lelaki pertama ditemui orang awam pada 10.57 pagi dalam keadaan pergelangan tangan kanannya dikerat dan dipercayai dibunuh di tempat lain.

"Mangsa yang berusia 30-an dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga empat hari berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berulat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat lelaki itu dan polis mengesyaki mangsa diheret dua atau tiga lelaki sebelum dibuang di situ.

Menurut Gunarajan, mangsa memakai singlet merah bertulis 'Love Is Magic', berseluar jeans serta berkasut kanvas merah. Individu yang mengenali mangsa diminta tampil membantu siasatan, katanya.

Gunarajan berkata tiada kesan kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa berikutan keadaan mayat yang telah mereput.

Mayat dihantar ke Hospital SeberangJaya untuk bedah siasat.

"Pergelangan tangan kanannya masih tidak dapat dijumpai dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata seorang lagi mayat lelaki bertubuh kurus juga dipercayai warga asing dijumpai di kebun getah kira-kira tiga kilometer di jalan yang sama pada 1.30 petang.

Beliau berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut berikutan tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

"Polis percaya lelaki itu tiada kaitan dengan kes pertama dan masih menjalankan siasatan bagaimana mangsa boleh sampai ke kawasan itu kerana ia bukan laluan biasa," katanya. 

mayat warga asing

Artikel Lain