suria

Banjir: Ubat Habis Tidak Jejas Misi Bantuan Mercy Malaysia

KUALA LUMPUR:  Kehabisan bekalan ubat-ubatan tidak sedikit pun menjejaskan bantuan kemanusiaan petugas Mercy Malaysia kepada mangsa banjir di Kelantan. 

Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia Ahmad Faezal Mohamed berkata para petugas dan sukarelawan yang kini berada di kem pangkalan di Pasir Mas bagaimanapun berjaya membeli bekalan ubat di pekan berhampiran Kota Baharu. 

"Kita telah menghantar bekalan dari Kuala Lumpur tetapi dua lori yang membawa ubat-ubatan dan kit barangan kebersihan diri itu terkandas di Kuala Krai kerana jalan tidak boleh dilalui. 

"Kita juga pertimbangkan untuk menghantar bekalan menggunakan laluan udara bersama-sama para sukarelawan kita yang akan datang ke sini," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Ahmad Faezal berkata setakat ini masalah kesihatan yang dialami mangsa banjir ialah seperti demam, selesema dan sedikit alahan kepada air kotor, namun belum ada sebarang kes kronik atau kecederaan.  

"Kita juga memberi ubat-ubatan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis yang tidak dapat mengambil bekalan ubat mereka di klinik-klinik kesihatan,"katanya. 

Beliau berkata memandangkan keadaan banjir yang meruncing di Gua Musang dan Kuala Krai, Mercy Malaysia juga merancang untuk membuka sebuah lagi kem pangkalan di Machang, serta di Terengganu untuk memudahkan urusan pengagihan bantuan.

Pasukan Mercy Malaysia yang berada di Kelantan sejak Jumaat lepas sehingga kini telah mengadakan empat 'klinik bergerak' dengan kekuatan 10 pegawai perubatan yang bergilir-gilir melakukan pemeriksaan kesihatan dan rawatan.

Ahmad Faezal berkata Mercy Malaysia membuat koordinasi dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengenal pasti lokasi yang kurang mendapat bantuan.

Katanya, mereka juga mendapat bantuan daripada anggota Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Komunikasi dan Penyelamat Kelantan (Res' K) untuk membawa bekalan ubat, kit barangan kebersihan diri dan pelbagai keperluan lain kekawasan-kawasan yang sukar dimasuki.

Tambah Ahmad Faezal, Mercy Malaysia turut mendapat sumbangan bekalan dan sukarelawan daripada syarikat-syarikat korporat.

Mercy malaysia

Artikel Lain