suria

Mangsa Banjir di Kelantan Menurun, Negeri Lain Semakin Buruk

Seorang penduduk kampung hanya dapat memerhatikan keadaan kediaman penduduk kampung yang teruk ditenggelami air hingga ke paras bumbung di Kampung Labit di Lenggong pada Selasa. -- foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Perlis, Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah bertambah buruk malam ini, manakala di Kelantan keadaan sedikit baik.

Di PERLIS, sehingga 7 malam Selasa, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 104 orang berbanding 93 orang petang tadi dan sebuah lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Beseri Dalam, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN)
Perlis.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Ipoh juga meningkat kepada 421 mangsa malam ini berbanding 170 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata setakat ini, jumlah mangsa banjir di Hulu Perak ialah 256 mangsa, Kuala Kangsar (142 mangsa)
dan 23 mangsa di Ipoh.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat daripada 12,403 orang petang tadi kepada 12,629 orang setakat 7 malam ini, kata jurucakap MKN Terengganu.
 
Kemaman merupakan kawasan yang paling terjejas dengan jumlah mangsa 5,657 orang diikuti Kuala Terengganu 2,895 orang, Dungun 2,654 mangsa, Hulu Terengganu 811 orang, Besut 499 orang, Marang 91 mangsa dan Setiu 22 orang.

Bagaimanapun pusat operasi berkurangan kepada 92 berbanding 93 petang tadi.

Keadaan sama di PAHANG apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 6,286 orang malam ini berbanding 4,729 orang di enam daerah petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, mangsa banjir di Kuantan merupakan yang paling ramai iaitu 3,525 orang yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah itu.
 
"Di Maran melibatkan 1,373 orang di 12 pusat pemindahan, Lipis 659 orang di 12 pusat pemindahan, 384 orang ditempatkan di 14 pusat pemindahan di Jerantut manakala Rompin 246 orang di dua pusat pemindahan dan 99 mangsa di Pekan yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan," katanya kepada Bernama.
 
Beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis dan Jerantut-Kuala Tahan.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 293 mangsa malam ini berbanding 268 orang petang tadi, manakala keadaan tidak berubah di Tenom dengan kekal 19 mangsa di sebuah pusat pemindahan.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata kesemua 293 mangsa yang melibatkan 104 keluarga dari tujuh kampung itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Masyarakat Baru di daerah itu.

Beliau berkata lebih 10 jalan terputus dan ditutup untuk kenderaan ringan iaitu di Kampung Melulugus, Kampung Lawa, Kampung Lago, Kampung Suasa, Kampung Lupak, Kampung Selinsing, Kampung Kebulu, Kampung Beringin, Kampung Gadong, Kampung Lawa, Kampung Lawa Labi, Kampung Gumarit dan Kampung Lago.

Berbeza dengan di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan iaitu daripada 22,259 mangsa petang tadi kepada 21,601 orang malam ini yang ditempatkan di 96 pusat pemindahan.

Mangsa banjir berkenaan terdiri daripada sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat. 

Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya dan empat bacaan di tiga sungai utama di negeri itu juga masih melepasi paras bahaya.

Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Dis lalu masih kekal empat orang.


banjir, di negeri lain

Artikel Lain