suria

'Saya Letih, Saya Cuma Mahu Gembira', Permintaan Terakhir Syamimi

Jenazah Nur Syamini Liyana Firdaus Estrop yang menghidap penyakit hati kronik dibawa keluar dari Hospital Selayang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda hari ini. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 petang tadi di Hospital Selayang. Penyakit yang dihidapi adik Nur Syamini Liyana sebelum ini pernah mendapat perhatian Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: "Saya letih, saya cuma mahu gembira", itu permintaan terakhir diluahkan adik Nur Syamimi Liyana, penghidap penyakit hati kronik (Wilson's Disease) kepada bapanya, Firdaus Estrop Abdullah. 

Allahyarham Nur Syamimi menghembuskan nafas terakhirnya di sisi bapa dan kakaknya, Nurul Fatihah Diana, 9, di Hospital Selayang kira-kira pukul 3.30 petang ini. 

Nur Syamimi, 7, dikesan menghidap penyakit itu April lepas setelah menjalani pemeriksaan kerana sering murung, kurang aktif dan perutnya semakin membesar. 

Kes beliau mendapat perhatian Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno yang membantu mendapatkan bantuan pembiayaian kos rawatan. 

Permintaan Nur Syamimi sempat ditunaikan dengan sambutan hari jadinya di Hospital Selayang pada 27 Nov lepas. 
 
 
"Dah nampak petanda yang Syamimi akan tinggalkan kami kerana permintaannya itu. 
 
"Syamimi juga meminta saya untuk membawa kakaknya berjumpa dengannya kerana wad itu tidak membenarkan kanak-kanak bawah umur masuk," kata Firdaus, 32, ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di sini malam ini. 

Firdaus berkata, Nur Syamimi telah menerima surat keutamaan untuk membuat pembedahan namun pihak hospital tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya tidak stabil.
 
"Syamimi tidak boleh menjalani pembedahan kerana keadaan badannya yang sangat lemah. 
 
"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberi bantuan secara langsung mahupun tidak kepada Syamimi," katanya sambil menambah beliau redha dengan pemergian anak bongsunya itu.
 
Sementara itu, ibu Nur Syamimi, Nur Syahidah Tan Siew Guat, 31, menyatakan syukur kerana permintaan terakhir anaknya dapat ditunaikan. 

Pengebumian jenazah diuruskan oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur yang turut memberikan bantuan sejak Nur Syamimi dimasukkan ke hospital. 

Syamimi, pesakit hati kronik

Artikel Lain