suria

Adun Inanam Bimbang Berat Badannya Susut, Kata Rakan

Dr Chia.

KOTA KINABALU: Penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas sejak beberapa bulan lalu merupakan punca Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR- Inanam, Dr Roland Chia secara tiba-tiba mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan itu.

Di tengah-tengah kekecohan terhadap spekulasi politik berhubung kenyataan Adun itu di media sosial mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan, seorang teman politik dan rakannya berkata, isu kesihatan Dr Chia adalah benar.

"Berat badan beliau (Dr Chia) susut dan terdapat warna kekuningan pada kulit beliau. Beliau pergi membuat pemeriksaan kesihatan tetapi doktor tidak menemui sebarang masalah," katanya yang enggan dikenali.

Menurut rakannya itu, Dr Chia ke luar negara untuk menjalani satu lagi pemeriksaan kesihatan.

"Saya boleh katakan dengan pasti bahawa keutamaan beliau adalah kesihatannya dan tiada kena-mengena dengan politik. Saya percaya mengapa beliau ada menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya.

"Ia bukan satu helah politik yang didakwa sesetengah pihak," katanya.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin menafikan terdapat perbezaan politik dengan Dr Chia manakala pemimpin-pemimpin PKR pusat hanya boleh mengesahkan bahawa Dr Chia telah memaklumkan mereka mengenai masalah kesihatan dan beliau akan berbincang mengenai perkara itu bersama beliau.

Seorang pemimpin PKR Sabah mendakwa bahawa Adun dari parti itu mendapati sukar untuk mengendalikan kawasan mereka berikutan kos yang tinggi dengan bantuan kewangan sedikit daripada PKR pusat.

Dr Chia yang merupakan seorang pakar pergigian berusia 44 tahun terus menjadi perhatian semua, berikutan kenyataannya di Facebook dan Twitter pada 18 Disember lalu, yang menyatakan bahawa beliau akan membuat kenyataan rasmi selepas sambutan Krismas.

Sumber PKR pada masa ini tidak dapat mengesahkan sama ada Dr Chia akan meneruskan hasratnya untuk melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam atau tidak.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain