suria

Keputusan Adun Inanam Letak Jawatan Belum Dapat Disahkan - PKR

Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum dapat mengesahkan mengenai keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam, Dr Roland Chia untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa Dr Chia kini berada di luar negara dan parti kini dalam proses untuk menghubungi beliau bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan sebenar kesihatannya.

Tambahnya, ia juga bagi mendapatkan pengesahan kenyataan ringkas Adun Inanam itu di media sosial.

"Saya telah berhubung dengan pimpinan Keadilan Sabah dan pegawai-pegawai Dr Roland Chia, dan mereka mengesahkan bahawa Dr Roland Chia memang ada masalah kesihatan, walaupun tidak dapat dipastikan statusnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Dr Chia di Facebook dan Twitter pada Rabu mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat sehingga mencetuskan kekecohan banyak pihak.

Kenyataan Dr Roland Chia di akaun twitter miliknya pada Rabu.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, selagi beliau belum dapat berhubung sendiri dengan Dr Chia untuk mendapatkan maklumat lanjut maka keputusan Adun Inanam untuk meletakkan jawatan sama ada muktamad atau tidak belum dapat disahkan.

Di dalam kenyataan itu, Dr Chia berkata, beliau akan mengundur diri sebagai Adun kerana sebab-sebab kesihatan.

Dr Chia, yang merupakan seorang doktor gigi memenangi kerusi Inanam buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei tahun lepas dengan majoriti 3,202 dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau meraih 8,926 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Joseph Paulus Lantip dari Parti Bersatu Sabah mendapat 5,724 dan Eric Majimbun mewakili Parti Progresif Sabah menerima 5,003 undi.


Artikel Berikut

Artikel Lain