suria

Usahawan Terjejas Banjir Disaran Mohon Dana PKS

KUALA TERENGGANU: Semua usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) Terengganu yang perniagaan mereka terjejas akibat banjir boleh memohon Dana Kecemasan PKS diwujudkan SME Corp Malaysia dan Malaysia Industrial Development Finance (MIDF).

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata penubuhan Dana Kecemasan PKS sebanyak RM10 juta itu telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012 lalu.

Malah, setiap tahun, jumlah sama diperuntukkan bagi membantu usahawan terlibat bencana termasuk banjir.

"Dana tersebut ditubuhkan sebagai satu langkah proaktif oleh pihak kerajaan agar usahawan PKS yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir dapat beroperasi semula.

"Dana tersebut disalurkan dalam bentuk Skim Pinjaman Mudah dan Geran kepada PKS yang terjejas perniagaannya untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan," katanya.

Dana Kecemasan PKS itu merangkumi semua sektor ekonomi dengan pinjaman bermula daripada RM50,000 hingga maksima RM100,000 di mana pembiayaannya sehingga 90 peratus daripada kos-kos pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan yang akan diuruskan oleh MIDF.

Manakala bagi pembiayaan geran, SME Corp menyediakan sebanyak RM30,000 bagi setiap PKS untuk membaiki peralatan yang rosak dan mengubahsuai premis yang terjejas akibat banjir.

Muhammad berkata dana berkenaan akan dapat meringankan beban dan kesengsaraan dialami pengusaha PKS selain membantu agar operasi serta perjalanan syarikat dapat diteruskan seperti biasa.

"Antara kriteria kelayakan untuk memohon pinjaman dan geran dana tersebut adalah mereka mesti mengemukakan bukti bahawa premis perniagaan terjejas akibat bencana alam seperti banjir dan operasi perniagaan berada di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara atau Pejabat Daerah," katanya.

Usahawan, Banjir, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain