suria

Angin Kencang, Laut Bergelora Dijangka Berterusan Hingga Khamis

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dan laut bergelora kategori dua dijangka berterusan di kawasan perairan Labuan dan Miri sehingga Khamis ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, angin kencang berkelajuan antara 40 dan 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ketinggian ombak sehingga 4.5 meter di kawasan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan persisiran pantai termasuk perkhidmatan feri.

Jabatan itu turut meramalkan angin kencang timur laut dan laut bergelora kategori pertama dijangka berterusan sehingga Khamis di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, dan Sarawak (Bintulu, Mukah, Kuching). 

Keadaan sama dijangka berlaku di Condore, Reef North, Reef South, Samui, Tioman, Bunguran, Palawan, Layang-Layang dan Labuan, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, keadaan ribut petir di perairan Perak, Terengganu, Pahang, Johor timur, Selat Melaka dan Tioman dijangka berterusan sehingga Rabu.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter, sekali gus bahaya kepada bot kecil.

Artikel Lain