suria

Negara Transit Militan Boleh Berubah Jadi Sasaran - Hishammuddin

Seorang tahanan dihadapkan ke mahkamah kerana memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas di ibu negara, Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Meskipun tujuh militan Indonesia hanya menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum ke Syria baru-baru ini, adalah tidak mustahil ia dijadikan negara sasaran oleh kumpulan pengganas itu kelak, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Pada masa ini, Malaysia berstatus negara transit tetapi jangan ingat bahawa status transit itu tak boleh berubah kepada negara sasar.

"Orang tak sangka Australia dan Sydney boleh menjadi negara sasar, orang tak ingat Kanada atau US (Amerika Syarikat) boleh jadi negara sasar. Jadi, jangan ingat sasaran mereka hanya Iraq dan Syria sahaja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tujuh warga Indonesia termasuk empat wanita di sekitar Selangor awal bulan ini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti militan dengan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menuju ke Syria.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kesemua warga Indonesia itu yang berusia antara 25 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, 2 Disember lepas.

Seorang daripada mereka dipercayai fasilitator yang mengatur pemergian anasir militan Indonesia ke Syria dan disyaki mempunyai hubungan dengan Umar Patek, anggota kanan kumpulan Abu Sayyaf dan anasir Al-Qaeda di Asia Selatan.

Hishammuddin turut mengingatkan masyarakat terutama golongan muda supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap ancaman golongan militan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memuji kecekapan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dapat menahan militan itu sebaik sahaja mereka tiba di negara ini.

"Saya melihat ini merupakan satu kejayaan yang telah kita (PDRM) buat. Kita tak boleh menghalang mana-mana orang daripada mana-mana negara untuk datang ke Malaysia, atau pergi ke mana-mana pun.

"Namun, setelah mengetahui bahawa militan ini mempunyai tujuan tertentu dan mereka menggunakan negara ini sebagai transit sebelum pergi ke Syria, PDRM dengan segera menangkap mereka sebaik sahaja tiba di sini," katanya.

Menurutnya penahanan itu juga adalah hasil kerjasama PDRM dengan pihak keselamatan Indonesia dalam menangani aktiviti militan.

"Saya berharap melalui kerjasama ini, ia dapat dieratkan dan diperkuatkan lagi dalam menangani masalah kemasukan pihak pengganas ke Malaysia dengan menjadikan negara ini sebagai transit ataupun tempat peralihan untuk pergi ke negara ketiga," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain