suria

DAP Perlu Berhemah Keluarkan Kenyataan Isu Hudud - PAS

JOHOR BAHARU: PAS pada Selasa meminta pemimpin-pemimpin DAP supaya lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan mereka khususnya yang melibatkan dasar PAS.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata walaupun PAS menghormati hak demokrasi DAP untuk berbeza pandangan dan tidak bersetuju, namun ia berpendapat sikap parti itu secara berterusan mempertikaikan hak PAS memperjuangkan undang-undang hudud di Kelantan khususnya, adalah sangat tidak baik dan tidak wajar.

"Ia adalah satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Menurutnya tindakan itu adalah siri berangkai beberapa lagi tindakan DAP yang mempertikaikan PAS termasuk semasa krisis Menteri Besar Selangor beberapa bulan lepas.

Mohd Khairuddin menegaskan undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud adalah sebahagian daripada perjuangan PAS yang tidak boleh ditawar-menawar.

"Menjadi hak PAS untuk terus memperjuangkan pelaksanaan undang-undang ini di dua negeri majoriti umat Islam iaitu Kelantan dan Terengganu dengan pelaksanaannya terhadap penjenayah dalam kalangan orang Islam sahaja menerusi Mahkamah Syariah, melainkan jika penjenayah bukan Islam juga meminta untuk dilaksanakan ke atas mereka atas prinsip perundangan 'mutatis mutandis'," kata beliau.

Mohd Khairuddin berkata parti-parti dalam PR menyetujui dasar-dasar bersama yang boleh dikompromi menjadi sebahagian manifesto bersama dalam pilihan raya umum berasaskan konsep Negara Berkebajikan dan Negara Adil Untuk Semua.

Oleh itu, setiap parti itu perlu menghormati perbezaan dasar dan perjuangan masing-masing kerana ia merupakan asas kepada persefahaman PR.

Pada Konvensyen Kebangsaan DAP 2014 pada Ahad lepas, ia meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum Hudud yang diperjuangkan PAS.

Pada konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa pakatan pembangkang untuk menjelaskan pendirian mereka untuk tidak melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum akan datang.

DAP, PAS, Hudud

Artikel Berikut

Artikel Lain