suria

JPN Nafi Keperluan Tukar MyKad

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai maklumat tersebar tentang arahan penukaran MyKad selewat-lewatnya pada hujung tahun ini bagi mengelak daripada didenda. 

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling berkata, tiada keperluan untuk menggantikan kad pengenalan kepada yang baharu sekiranya MyKad yang dimiliki masih dalam keadaan baik dan berfungsi. 

Beliau menegaskan sebarang maklumat berkaitan kad pengenalan hanya boleh disahkan oleh ketua pengarah pendaftaran negara dan pegawai pendaftaran yang dilantik sahaja. 

"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengharapkan kerjasama orang ramai untuk tidak mempercayai sumber berita dari laman sosial atau media tidak rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan penukaran kepada MyKad struktur baharu adalah tidak diwajibkan sebaliknya, pelaksanaannya adalah secara berterusan dan tiada tarikh tutup ditetapkan. 

Sulaiman berkata, peraturan membuat MyKad terbahagi kepada tiga bahagian. 

"Pertama adalah seseorang kanak-kanak warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 12 tahun adalah wajib membuat kad pengenalan bagi kali pertama di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Negara 1990 (kecuali Orang-orang terkecuali sebagaimana di bawah Peraturan 27, PeraturanPeraturan Pendaftaran Negara 1990).

"Warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun dan sebelum mencapai 25 tahun wajib membuat penukaran dan ianya hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Negara 1990. 

"Gantian kad pengenalan yang dibuat sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan kad pengenalan atau cip tidak berfungsi dan pertukaran butiran yang telah diluluskan oleh JPN," katanya. 

Beliau berkata MyKad mula diperkenalkan sejak tahun 2000 manakala MyKad versi terkini pula dikeluarkan mulai 3 Januari 2012.

Artikel Lain